Sabtu, 12 Ogos 2017 | 8:12pm

Korban nahas kereta api Mesir meningkat 41

ISKANDARIAH: Angka kematian terbaru nahas kereta api di Mesir meningkat kepada 41 orang, ketika pekerja menggunakan kren untuk membersihkan landasan antara Kaherah dan bandar raya Iskandariah, hari ini.

Diterangi lampu limpah, pasukan penyelamat mencari mangsa di celah-celah gerabak yang rosak sepanjang malam, termasuk menggunakan lampu suluh pada telefon bimbit.

Angka korban akibat kemalangan apabila dua kereta api bertembung berhampiran Iskandariah itu bertambah kepada 41 dengan 179 lagi cedera, kata Kementerian Kesihatan, hari ini.

Empat puluh tujuh mangsa yang cedera dibenarkan keluar dari hospital manakala 12 lagi masih dalam unit rawatan rapi.

Ambulans berulang alik mengangkut mangsa tercedera, yang diletakkan di padang sepanjang tepi landasan, ke hospital di Iskandariah.

Pekerja menggunakan kren untuk mengalihkan empat gerabak yang menghalang laluan landasan Kaherah-Iskandariah yang sibuk.

Pegawai Kementerian Pengangkutan, yang dipetik stesen televisyen, berkata nahas di pinggir Iskandariah itu kemungkinan disebabkan kerosakan pada salah satu tren yang menyebabkannya terhenti sebelum dirempuh kereta api lain. - AFP

284 dibaca
Berita Harian X