Ahad, 22 April 2018 | 9:05pm
MARIAM menunjukkan lampin pakai buang yang diedar syarikatnya. - Foto Saddam Yusoff
MARIAM memeriksa stok lampin pakai buang bersama pekerjanya di Bosomi Malaysia, Selayang. - Foto Saddam Yusoff

Dari peraih besi ke pengedar lampin berjaya

JELEBU: Sudah menjadi asam garam peniaga mengalami kesukaran menjual produk di awal perniagaannya kerana kurang dikenali dan memerlukan usaha keras untuk membina kepercayaan jenama di kalangan pengguna.

Keadaan sama dialami Mariam Hussin, anak peneroka FELDA Simpang Pertang, di sini, ketika memulakan perniagaan menjual lampin pakai buang yang diimport dari Korea Selatan sekitar 2003.

Mengimbau keadaan itu, Pengurus Besar Nurul Billion Enterprise berusia 52 tahun itu berkata, dia mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan pada 2003 selepas bergelumang dengan pelbagai kerja, antaranya menjual besi buruk dan bertindak sebagai ejen melupuskan besi buruk.

Dengan melaburkan semua simpanan yang ada, ibu kepada empat cahaya mata ini nekad untuk mengubah masa depan keluarganya.

"Suatu hari saya ke kilang menghasilkan lampin pakai buang untuk kerja melupuskan bahan itu...apabila tengok lampin pakai buang yang hendak dilupuskan itu, tiba-tiba timbul idea saya untuk menceburi perniagaan berkenaan.

"Dengan semangat berkobar-kobar, saya ke Korea Selatan pada 2003 untuk mencari sumber dan selepas selesai berurusan dengan pihak di sana, saya bawa balik tiga kontena bekalan.


PENGURUS Besar Nurul Billion Enterprise, Mariam Hussin. - Foto Saddam Yusoff

"Pada awalnya memang agak susah nak jual, sehingga saya terpaksa menjualnya dengan harga modal saja selama hampir tiga bulan," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Bosomi Malaysia di Selayang, baru-baru ini.

Menjadi pengimport tunggal lampin pakai buang dari Korea Selatan di Malaysia, Mariam berkata, ia memberi sedikit kelebihan kepadanya untuk tidak mudah rebah apabila giat mempromosikan produk berkenaan seluruh Malaysia.

"Selepas jenama dari Korea Selatan ini mendapat tempat di hati rakyat kita, bekalan sentiasa tidak pernah cukup.

Bawa masuk lampin pakai buang organik

"Dari hanya tiga kontena kini sudah bertambah ke lapan kontena dan terbaharu, kita bawa masuk lampin pakai buang organik dari Bosomi khusus untuk kulit bayi yang sensitif," katanya.

Usaha keras anak bekas polis itu ternyata berbaloi apabila lampin pakai buang jenama Bosomi, Loviia dan Style Bebe yang dipasarkan sudah dikenali dan dijual di seluruh negara oleh ejen dan pengedar dilantik di seluruh negara.

Permintaan tinggi pelanggan sudah tentu meningkatkan jualannya yang kini mencecah lebih RM1 juta sebulan, dengan penghantaran produk membabitkan lima kontena untuk pasaran tempatan selain turut mengeksport tiga kontena lampin pakai buang ke Filipina dan beberapa negara jiran.


MARIAM membantu pekerjanya mengangkat lampin pakai buang. - Foto Saddam Yusoff

"Saya mengalu-alukan mereka yang ingin mencari pendapatan sampingan supaya mencuba perniagaan lampin pakai buang...bayangkan saya sendiri boleh konsisten dalam perniagaan ini selama 15 tahun dan ia bermaksud perniagaan ini ada permintaan," katanya.

Di samping menyasarkan lampin pakai buang bayi, Mariam kini mengembangkan rangkaian produknya kepada jenama lampin pakai buang bagi golongan dewasa yang diimport dari Jepun.

Tanggungjawab sosial kepada masyarakat

"Pada peringkat awal ini, syarikat memberi sumbangan kepada Hospital Selayang di Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai sebahagian tanggungjawab sosial, sebelum ia dijual secara rasmi di pasaran tempatan dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merancang mengembangkan perniagaan dengan menjual produk lampin pakai buang keluarannya di pasar raya kecil dalam tempoh terdekat, selain pasar raya besar dalam tempoh setahun.

"Kita merancang untuk mengeksportnya ke Mesir, Filipina, Pakistan dan Oman di mana kita lihat pasaran Oman sangat berpotensi untuk diteroka.

"Kami sasarkan untuk mengeksport 20 kontena dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memenuhi permintaan," katanya.

Bagi yang berminat untuk menjadi ejen lampin pakai buang jenama Bosomi, Loviia, Style Bebe, boleh melayari Facebook Bosomi Diapers Malaysia untuk maklumat lanjut.


MARIAM memulakan perniagaan menjual lampin pakai buang yang diimport dari Korea Selatan pada sekitar 2003. - Foto Saddam Yusoff

INFO:
Mariam Hussin

Umur: 52 tahun

Jawatan: Pengurus Besar Nurul Billion Enterprise,

Alamat: 1-1 Jln Dataran Selayang, Dataran Selayang, Batu Caves, 68100 Selayang, Selangor

Instagram: @bosomimalaysia

Facebook: @bosomidiapersmalaysia

Berita Harian X