Rabu, 11 April 2018 | 2:17pm

Kuih bakul gadis OKU teroka 10 negara

KUALA TERENGGANU: Terpaksa berkerusi roda akibat lumpuh separuh badan sejak 2011, bukan penghalang bagi seorang gadis untuk menempa kejayaan sebagai usahawan.

Di sebalik kecacatan akibat demam panas kira-kira tujuh tahun lalu, Haziqah Nurulhuda Harun, 22, gigih mengusahakan perniagaan kuih bulan dan kuih bakul halal.

Kini, gadis orang kurang upaya (OKU) itu memiliki kilang sendiri di Bukit Kuang di Kemaman, dekat sini, yang mampu menghasilkan lebih 100,000 biji kuih bulan dan kuih bakul untuk memenuhi permintaan bulanan khususnya pada musim perayaan.


HAZIQAH Nurulhuda Harun gigih mengusahakan perniagaan kuih bulan dan kuih bakul. - Foto Rosli Ilham

Berkat kegigihannya itu, tidak hairanlah gadis berwajah ayu dan menjadi idola ramai remaja dan belia yang lebih mesra dengan panggilan Yaya, dinobat sebagai Ikon Belia Terengganu pada tahun lalu.

Yaya ketika ditemui mengakui pada awalnya hanya menerima tempahan antara 2,000 hingga 4,000 kuih bakul seminggu, sebelum permintaan melonjak mendadak melebihi 100,000 sebulan khususnya pada musim perayaaan.

"Mula-mula Yaya (berniaga) suka-suka sahaja. Dengan modal RM300 daripada duit raya, Yaya membeli bahan untuk membuat kuih bakul, namun selepas itu ramai pula yang suka dan Yaya mula menjualnya," katanya.

Yaya tidak menafikan perniagaan diusahakannya itu mula 'berjaya' selepas menjadi tular di laman sosial Facebook sejak dua tahun lalu

"Kuih bulan dan kuih bakul dihasilkan mendapat sambutan berikutan kesukaran untuk mendapat juadah itu yang berstatus halal dan dihasilkan penguasaha Islam, sedangkan ia mempunyai ramai penggemar.


HAZIQAH Nurulhuda Harun memiliki kilang sendiri yang mampu menghasilkan sehingga 100,000 biji kuih. - Foto Rosli Ilham

500 ejen seluruh negara

"Sejak itu Yaya tidak menang tangan menerima tempahan sehingga terpaksa membuka kilang dengan modal sendiri berjumlah RM150,000 dengan dibantu 10 pekerja.

"Ketika ini, secara purata kilang Yaya menerima tempahan lebih 30,000 biji kuih bakul seminggu untuk dihantar ke Singapura, Abu Dhabi, Rusia, Australia, Kuwait, Brunei, Indonesia, Thailand, India dan Korea Selatan," katanya.

Dengan 500 ejen jualan di Malaysia dan stokis di luar negara antaranya Kuwait, Beijing dan Kanada, pasaran kuih bulan dan kuih bakul diusahakan Yaya semakin besar permintaannya.

"Untuk kuih bulan ia biasanya banyak ditempah pada Ogos, September dan Oktober.

"Yaya menyediakan 32 jenis kuih bulan dengan 10 perisa yang paling laris antaranya pandan, coklat putih, red velvet, kismis, teh hijau, serta perisa pelbagai jenis kacang dengan kacang merah paling mendapat sambutan.


PERNIAGAAN HAZIQAH Nurulhuda Harun mula 'berjaya' selepas menjadi tular di laman sosial Facebook sejak dua tahun lalu. - Foto Rosli Ilham

"Kuih bakul tidak ubah seperti dodol yang menjadi kegemaran masyarakat Melayu. Bezanya, kuih bakul menggunakan adunan tepung pulut, air dan gula perlu dikukus selama 12 belas jam," katanya.

Yaya mengakui mempelajari teknik membuat kuih tradisional kaum Cina itu daripada seorang rakan dari Beijing, China, menerusi Facebook.

Malah, beliau berbangga apabila dijemput ke Singapura pada September tahun lalu bagi menyertai Festival Kuih Bulan anjuran komuniti Malaysia di sana dan melaluinya berjaya menjual lebih 20,000 kuih bakul.

OKU juga boleh berjaya

Dengan kejayaan itu, Yaya sering dijemput berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan dengan belia lain termasuk di institusi pendidikan, antaranya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban dan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur.

"Yaya yakin individu OKU juga boleh maju seiring insan normal jika ada kemahuan, walhal proses membuat kuih bakul dan bulan bukan sesuatu yang mudah.


HAZIQAH Nurulhuda Harun menunjukkan pelbagai kuih bulan yang diusahakan di premisnya di Kemaman. - Foto Rosli Ilham

"Yaya tidak pernah menyangka kekurangan diri memberi hikmah besar buat Yaya," katanya.

Bercerita mengenai keadaan dirinya, Yaya berkata dia diserang demam panas ketika belajar di Tingkatan Empat sebelum hilang penglihatan kedua-dua mata dan gegendang telinganya juga pecah menyebabkan gadis itu terpaksa berhenti sekolah.

"Selepas itu keadaan Yaya semakin teruk apabila tidak mampu bergerak dan hanya terlantar. Yaya tidak mampu mengurus diri sendiri.

"Mama dan abah banyak membantu memberi semangat. Mereka tidak jemu membantu Yaya menjalankan fisioterapi sehingga akhirnya boleh bangun, tetapi perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

"Alhamdulillah, berkat doa dan kesabaran mama dan abah, Yaya bangkit sehingga ada semangat untuk berdikari sendiri mencari sumber pendapatan. Alhamdulillah, kecekalan Yaya kini terbalas," katanya.

Berita Harian X