Ahad, 18 Februari 2018 | 5:58pm
DARI kiri; Datin Norjuma, Dian Pelangi dan Romanna Bint-Abubaker

Aidijuma beli kepentingan syarikat fesyen UK

LONDON: Pengeluar tudung dan hijab popular, Aidijuma Colours Group, bersama-sama laman e-dagang global, HIJUP melebarkan sayapnya ke pasaran global serta melakar satu lagi pencapaian penting apabila membeli kepentingan majoriti di dalam Haute Elan.

Pembelian kepentingan di dalam syarikat fesyen dan e-dagang berpangkalan di United Kingdom (UK) itu adalah sebahagian daripada proses pengembangan Aidijuma ke pasaran negara itu.

Haute Elan juga adalah penganjur Minggu Fesyen Muslimah London (LMFW).

Pembelian yang dilaksanakan oleh syarikat yang menghasilkan hijab 'Bawal' popular di Malaysia di bawah label Aidijuma itu, diumumkan bersama oleh Ketua Eksekutif merangkap Pengasas Aidijuma Colours Group, Datin Norjuma Habib Mohamed, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Hate Elan, Romanna Bint-Abubaker dan wakil HIJUP.com, Dian Pelangi pada edisi kedua LMFW.

"Kami berbangga bekerjasama dengan Haute Elan kerana percaya bahawa ia adalah sebuah platform yang benar-benar mewakili fesyen Muslimah, manakala Hijup.com di Jakarta adalah antara portal Muslimah terbesar di dunia.

"Pasukan kerja dan pembelian ini bermakna, fesyen Muslimah kini menuju ke arus perdana," kata Norjuma kepada media antarabangsa.

"Hari ini, boleh kita katakan platform terbesar bagi fesyen Muslimah kini terdiri daripada tiga wanita, diterajui oleh tiga wanita, ia benar-benar berlaku dan ia ada di sini. Alhamdulillah, kami mendapat rahmat untuk bertemu satu sama lain, persahabatan terjalin dan berkembang kepada apa yang kita lihat hari ini," kata Romanna.

Romanna adalah pengasas plaform jualan inovatif yang menempatkan koleksi terbesar pereka fesyen Muslimah mewah dari seluruh dunia. Platform itu akan membolehkan gabungan tiga syarikat itu menjadikan fesyen Muslimah sebagai arus perdana.

"Tiada siapa antara kita sempurna secara individu, namun berbekalkan pengalaman kami di pasaran UK, di samping pengalaman terbaik Hijup, kepakaran e-dagang, pembangunan produk serta apa yang dibawa oleh Norjuma, nasihat serta sokongan kewangannya, ia bermakna kami benar-benar mencapai matlamat masing-masing.

"Kami akan menjadi sebuah platform lebih baik untuk anda, platform lebih baik untuk mengambil lebih ramai wanita bekerja," katanya.

Dian yang mewakili Hijup.com, iaitu platform e-dagang Muslimah pertama di dunia berpangkalan di Jakarta berkata:

"Adalah mustahak untuk menunjukkan kami berkongsi cita-cita dan semangat yang sama bagi memberikan gambaran yang baik terhadap fesyen Muslimah serta memberikan persepsi yang baik mengenai hijab kepada dunia. Sekarang adalah era kerjasama, disebabkan itulah kami bekerjasama."

Hijup.com dibeli oleh Aidijuma Colours Group pada Mac tahun lalu.

"Dengan Hijup.com sebagai rakan strategik, ia memudahkan proses untuk menyertai mana-mana pameran fesyen atau kerjasama dengan pereka.

"Melalui Haute Elan di sini (LMFW), ia memudahkan semua pihak; Aidijuma menyediakan koleksi asas T-shirt dan kardigan, namun dengan tudung yang lebih bergaya. Pereka lain mempamerkan koleksi mereka dari atas ke bawah," kata Norjuma kepada pemberita Malaysia semasa ditanya mengenai hala tuju kerjasama selepas pembelian berkenaan.

"Menerusi pembelian ini, kami akan mengumumkan portal Hijup UK, dengan Haute Elan sebagai rakan strategik kepada Hijup Group dan Hijup Group, sebagai rakan strategik Aidijuma Colours Group. 

Norjuma menambah, kumpulan bersedia untuk membina kerjasama perniagaan di seluruh dunia dan mengembangkan model perniagaan bagi fesyen di peringkat global.

"Kami mahu portal Hijup menjadi sesuatu seperti Amazon bagi fesyen Muslimah, yang akan mengumpulkan bersama semua jenama fesyen Muslimah dari seluruh dunia.

"Sasaran kami adalah memiliki 500 label bagi setiap portal. Indonesia memiliki populasi Muslim terbesar di dunia, manakala populasi Muslim di UK adalah yang paling pantas berkembang, justeru kami boleh menyusun strategi perniagaan serta memanfaatkan pembelian ini supaya menjadi rakan strategik sebenar bagi Hijup.com," katanya.

Norjuma berkata, Hijup UK akan bergabung bersama Hijup Jakarta dan akan bekerjasama dalam beberapa pameran fesyen.

"Kami akan membawa Minggu Fesyen Muslimah dari UK ke Jakarta, ke Turki dan Dubai, Moscow serta Amerika. Kami bekerja bersama-bersama. Itulah impian Aidijuma Colours Group, iaitu menjadi peserta utama industri fesyen Muslimah.

"Kami akan menstruktur dan menyusun strategi seluruh organisasi bagi memastikan bahawa Haute Elan serta Hijup mewujudkan situasi menang-menang," katanya.

Pelaburan terbaharu di dalam Haute Elan menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan modal teroka Aidijuma Colours Group setakat ini mencecah AS$20 juta (RM77.8 juta).

Ia termasuk kepentingan di dalam syarikat penganjur acara dan peruncit Brunei, BIFASH; e-peruncit Singapura, MODESTylel; jenama kosmetik dan penjagaan kulit tempatan, Simplysiti dan Zawara selain HIJUP.com.

3423 dibaca
Berita Harian X