Ahad, 11 Februari 2018 | 10:05pm
RUZAIMAH memberi penerangan kepada pekerjanya di Hijrah Aluminium, Taman Perindustrian Tasik Perdana Puchong. - Foto Saddam Yusoff

Wanita 'aluminium' jana RM600,000 sebulan

KUALA LUMPUR: Siapa sangka pengalaman 17 tahun lalu sebagai kerani biasa di sebuah syarikat pembuatan tingkap dan pintu aluminium, mengubah sepenuhnya kehidupan seorang wanita kelahiran Kemaman, Terengganu.

Ketika wanita lain lebih selesa menceburi bidang kecantikan dan kesihatan, beliau pula sanggup bergelumang dengan pelbagai jenis besi dan aluminium.

Niatnya ketika itu mahu membuktikan wanita Melayu turut berkebolehan dalam perniagaan yang didominasi lelaki dan bukan Bumiputera itu.

Itulah kehebatan Ruzaimah A Rahim, 38, yang berjaya memecah tradisi dalam industri pembuatan tingkap dan pintu aluminium.

Dengan tekad mahu membantu anak muda supaya mempunyai peluang kerjaya yang lebih kukuh, beliau menubuhkan Hijrah Aluminium Sdn Bhd pada 2010.

Sebagai Ketua Pengarah Eksekutif, pembabitan awal beliau dalam bidang ini bermula semasa berkhidmat di sebuah syarikat bukan Bumiputera sejurus menamatkan pengajian Diploma Sains Komputer di Universiti Teknologi Malaysia pada 2000.

Pengalaman bekerja di syarikat itu mendedahkan beliau kepada bidang pembuatan tingkap dan pintu aluminium sebelum berhijrah ke dua syarikat lain dan kembali semula ke syarikat pertama sebagai Pengurus Pembangunan Perniagaan. 


KETUA Pengarah Eksekutif Hijrah Aluminium Sdn Bhd, Ruzaimah A Rahim. - Foto Saddam Yusoff

"Di situ saya banyak menimba ilmu dalam perniagaan ini, terutama mengenai harga dan potensi pasaran untuk produk tingkap dan pintu aluminium.

"Bagaimanapun, syarikat gagal membayar gaji pekerja selama tiga bulan berturut-turut berikutan kedudukan kewangan tidak menentu kerana pelanggan gagal membayar hutang," katanya ketika ditemui di syarikatnya di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Rentetan itu, Ruzaimah tidak memiliki pendapatan tetap dan terpaksa menjalankan perniagaan pintu dan tingkap aluminium secara kecil-kecilan di belakang rumahnya di Rawang dengan mengambil projek di kawasan sekitar.

Berbekalkan pengalaman 10 tahun dalam perniagaan itu serta sokongan keluarga dan rakan terdekat, beliau menubuhkan Hijrah Aluminium.

Dominasi bukan Bumiputera dalam perniagaan terbabit juga membuatkan beliau nekad menyahut cabaran bagi membuktikan Bumiputera juga mampu mengendalikan perniagaan berkenaan, malah boleh lebih hebat.

Berkat kesabaran dan sokongan suami, Azman Ismail yang kini Pengarah Urusan Hijrah Aluminium dan ahli keluarga yang turut membantu dalam operasi syarikat, beliau berjaya mendapat tawaran tender memasang pintu dan tingkap aluminium untuk pelbagai projek.

Projek bermula hanya dengan nilai sebanyak RM5,000 pada 2010 dan kini mencecah RM3.5 juta bagi satu projek.

Jika dahulu, beliau hanya mampu menyiapkan satu atau dua projek pada satu masa, kini berjaya menyiapkan tempahan sehingga 10 projek dengan pendapatan kasar RM600,000 sebulan.


RUZAIMAH bersama pekerjanya. - Foto Saddam Yusoff

"Kami ada pelbagai mesin berkuasa tinggi seperti 'double head cutting'. Pada masa akan datang, saya sasarkan syarikat mampu menyiapkan sehingga 20 projek pada satu masa dengan purata pendapatan kasar RM800,000 sebulan," katanya.

Antara projek diperoleh Hijrah Aluminium sejak ia beroperasi antaranya adalah pemasangan tingkap Hotel Ancasa Pekan di Pahang dan pangsapuri di Segambut Dalam, Kuala Lumpur. 

Syarikatnya kini dalam proses memasang tingkap dan pintu aluminium untuk projek 800 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Putrajaya bernilai RM2 juta dan Ibu Pejabat  Polis Daerah Larkin bernilai RM1.6 juta.

Selepas mampu meyakinkan pelbagai pihak, kemampuan syarikat dalam menyiapkan projek berkapasiti tinggi, Ruzaimah berpindah ke kilang lebih besar di Taman Perindustrian Tasik Perdana, Puchong, Selangor tahun lalu.

Beliau menggunakan modal pembiayaan permulaan sebanyak RM2.9 juta daripada Permodalan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

Bermula dengan hanya 10 pekerja, kini Ruzaimah mampu tersenyum bangga dengan pengembangan pesat syarikat selepas mampu menggajikan lebih 50 kakitangan dan menjadi pilihan lepasan kolej swasta untuk menjalani latihan industri.

Katanya, PUNB bukan sekadar memberi pembiayaan kewangan semata-mata, malah tunjuk ajar dan panduan bernas serta berguna melalui program mentor untuk meningkatkan lagi daya saing syarikat.

Berkongsi rancangan masa depannya, beliau merancang membangunkan sistem pemasangan pintu dan tingkap aluminium jenama sendiri bagi memudahkan pemaju dalam pembinaan rumah mampu milik.


RUZAIMAH menunjukkan bingkai tingkap yang diperbuat daripada aluminium. - Foto Saddam Yusoff

Perancangan itu mungkin dapat direalisasikan dalam tempoh 12 bulan akan datang selepas selesai kajian yang dilakukan.

Beliau yakin dengan sistem itu nanti, kos pemasangan pintu dan tingkap aluminium akan menjadi lebih rendah, sekali gus mengurangkan kos pembinaan di negara ini. 

Pada masa sama, Ruzaimah merancang membekalkan peralatan berkaitan pintu dan tingkap aluminium ke kedai perkakasan bagi memudahkan orang ramai membeli alat ganti.

Biodata

Nama: Ruzaimah A Rahim

Asal: Kemaman, Terengganu

Umur: 38

Syarikat: Hijrah Aluminium Sdn Bhd, pakar pembuatan tingkap dan pintu aluminium

Berita Harian X