Ahad, 31 Disember 2017 | 10:33pm
AMMAR (tengah) bersama Amiruddin (kiri) dan Ammar Shahrin menunjukkan sijil dan anugerah yang diterima. - Foto Khairull Azry Bidin

Ammar ubah budaya kerja agensi pelancongan

KUALA LUMPUR: Kerja sebagai pemandu pelancong yang pada mulanya dilakukan secara suka-suka ketika belajar di United Kingdom (UK) kini menjadi perniagaan utama anak muda berusia 28 tahun ini.

Pengasas bersama yang juga Pengarah Urusan ARBA Travel & Tours Sdn Bhd, Ammar Roslizar, berkata tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk terbabit secara langsung dengan industri pelancongan selepas tamat pengajian.

Ini kerana katanya, kebanyakan rakan sepengajian yang lain bekerja dalam industri kewangan antaranya sebagai penganalisis ekonomi di bank pelaburan.

Namun pelajar jurusan Sains Aktuari di UK itu berkata, beliau mengambil keputusan untuk terbabit secara serius dan sepenuh masa membangunkan agensi pelancongannya sendiri selepas melihat potensi besar dalam industri itu.

"Ketika pulang ke Malaysia pada tahun 2012, saya lihat ada masalah dalam industri pelancongan yang mana agensi pelancongan biasanya hanya mengambil dan menjual produk pelancongan dari luar negara ke Malaysia tanpa mengetahui mengenai produk itu secara terperinci.

"Sebaliknya 50 peratus kakitangan kami adalah bekas pelajar luar negara seperti saya sendiri selain di UK, pernah menyambung pengajian peringkat Sarjana di Australia. Malah, ada kakitangan kami adalah bekas pelajar di Perancis, Korea Selatan dan Jepun.


PENGASAS bersama yang juga Pengarah Urusan ARBA Travel & Tours Sdn Bhd, Ammar Roslizar. - Foto Khairull Azry Bidin

"Jadi, kami tahu banyak tempat menarik atau tempat yang murah untuk membeli belah dan saya melihat ini sebagai satu potensi untuk mengembangkan lagi syarikat ini," katanya ketika ditemui BH Plus, di sini.

Selain itu, katanya, beliau menyedari ada banyak agensi yang gemar membawa pelanggan ke tempat yang mahal untuk membeli belah kerana mahu mendapatkan komisyen.

Sedangkan, katanya, ramai pelanggan tidak menggemarinya dan lebih memburukkan keadaan, ada yang berasa tertipu sehingga aktiviti itu kini digelar sebagai 'tourist trap'.

"Ini juga yang syarikat kami cuba tangani pada tahun ini dengan tidak akan menawarkan pengalaman 'tourist trap' kepada pelanggan dalam setiap pakej pelancongan kami," katanya.

Selain beliau, ARBA Travel & Tours turut digerakkan secara bersama oleh tiga rakan niaga lain iaitu Ammar Shahrin sebagai Pengarah Operasi; Pengarah Pemasaran, Amiruddin Hamidun dan Pengarah Teknologi, Wan Mohd Aizuddin Wan Mohamad.

Syarikat pelancongan itu juga baru-baru ini berjaya menerima anugerah Enterprise 50 (E50) daripada SME Corp di kedudukan ke-30.

Lebih membanggakan, kata Ammar, ARBA Travel & Tours menjadi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) paling pantas iaitu hanya selepas tiga tahun ditubuhkan yang berjaya mendapat anugerah itu.


AMMAR (dua dari kiri) menyelia kakitangannya ketika ditemui di Kuala Lumpur. - Foto Khairull Azry Bidin

Katanya, pihaknya menyasarkan untuk tersenarai dalam kedudukan 10 teratas pada tahun ini.

"Selain anugerah ini, kami pernah tercalon sehingga ke peringkat separuh akhir dalam pencalonan EY Entrepreneur of The Year baru-baru ini," katanya yang berhasrat untuk bertanding lagi dalam anugerah itu tahun ini.

Bermula dengan hanya tiga orang, syarikat itu kini pantas berkembang dan kini beroperasi dengan 28 kakitangan yang berusia di antara 24 hingga 31 tahun.

Sesuai dengan usia tenaga kerja yang muda, Ammar berkata, beliau mahu membuat pembaharuan dari segi amalan budaya kerja di syarikatnya.

Antaranya ialah pekerjanya hanya perlu bekerja selama enam jam sehari iaitu bermula dari jam 9.45 pagi sehingga jam 3.45 petang.

Alasannya ialah, beliau tidak mahu pekerjanya tertekan apabila perlu mengharungi kesesakan trafik di awal pagi sewaktu mahu bergerak ke tempat kerja dan ketika pulang.

"Malah saya percaya produktiviti pekerja akan meningkat dengan cara ini apabila mampu meluangkan lebih banyak masa berkualiti dengan keluarga di rumah," katanya.


KAKITANGAN ARBA Travel & Tours Sdn Bhd ketika ditemui di Kuala Lumpur. - Foto Khairull Azry Bidin

Selain itu, dalam memastikan syarikat itu tidak ketinggalan di dalam arus teknologi digital, Ammar berkata, pihaknya juga turut melabur di dalam teknologi digital apabila sudah membangunkan satu sistem kecerdasan buatan (AI) yang mampu membantu melancarkan operasi syarikat.

Dikenali sebagai Lisa, sistem itu mampu menjalankan pelbagai tugas serentak seperti mengambil tempahan pelanggan, memasukkan data, tugas perkeranian, pengurusan stok dan juga sebagai alat bantu pemasaran.

"Sistem ini dibangunkan oleh rakan niaga kami sendiri iaitu Wan Mohd Aizuddin yang mana ia mampu menjimatkan kos operasi, masa dan tenaga syarikat. Malah, ia menjadikan kerja kami lebih cekap," katanya.

Pembaharuan lain yang cuba dibawanya ialah dengan memperkenalkan sistem imbuhan rakan setara atau 'peer to peer' (PDP) bagi menggalakkan budaya bersedekah di kalangan pekerjanya.

"Syarikat akan memberi RM100 kepada setiap pekerja setiap bulan yang akan digunakan untuk memberi imbuhan atau bersedekah kepada rakan kerja yang membantu mereka melakukan tugasan.

"Terpulang berapa banyak yang mahu diberi, RM5, RM10 atau RM50. Pemberian ini akan direkodkan dalam sistem kami dan akan dibayar pada setiap 10 haribulan," katanya menambah wang RM100 itu perlu dihabiskan dalam tempoh sebulan.

INFO
ARBA Travel & Tours:

  • Ditubuhkan pada 14 Mei 2014.
  • Lebih 7,000 pelanggan sudah menggunakan perkhidmatan mereka sejak ditubuhkan.
  • Menawarkan pakej pelancongan ke lebih 17 destinasi di seluruh dunia.
Berita Harian X