Jumaat, 1 September 2017 | 8:01pm
KETUA Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Dana Mudahcara TERAJU tarik pelaburan RM14 bilion

SERDANG: Unit Peneraju Agenda Bumiputra (TERAJU) berjaya menarik pelaburan bernilai RM14 bilion daripada syarikat Bumiputera, menerusi program Dana Mudahcara sejak ia dilaksanakan pada 2012.

Dana Mudahcara diwujudkan merangsang merangsang pertumbuhan syarikat Bumiputera dan membantu usahawan membuka perniagaan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh, berkata Dana Mudahcara adalah antara program utama dianjurkan TERAJU yang mana beliau yakin di bawah Bajet 2018 kelak, kerajaan akan kekal memberikan perhatian istimewa untuk memangkin pembangunan usahawan Bumiputera pada masa depan.

"Baru-baru ini, kami ada mengadakan mesyuarat membincangkan perkara baharu dan yang boleh ditonjolkan untuk lebih memperkasakan ekonomi Bumiputera.

"Perdana Menteri sendiri memberikan komitmen yang tinggi kepada Agenda Pemerkasaan Bumiputera dan Agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang mana beliau akan mempengerusikan Majlis Ekonomi Bumiputera setiap bulan.

"Ini tidak pernah dibuat dalam mana-mana pentadbiran Malaysia sebelum ini, apabila Perdana Menteri meletakkan Majlis Ekonomi Bumiputera sebagai mesyuarat ketiga terpenting selepas Mesyuarat Kabinet dan Mesyuarat Majlis Ekonomi pada setiap minggu," katanya kepada BH di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Husni berkata, di bawah Bajet 2018, beliau yakin bantuan kewangan kepada usahawan Bumiputera masih perlu diteruskan namun diperkenalkan dengan pendekatan yang berbeza sedikit.

Katanya, ia berikutan 90 peratus daripada perniagaan yang diusahakan oleh masyarakat Bumiputera adalah syarikat berskala kecil atau mikro, yang berdepan dengan kesukaran mendapatkan bantuan bank.

"Kerana itu kerajaan perlu memperkasakan agensi yang membantu mereka ini, kita kini ada banyak agensi seperti TEKUN, Amanah Ikhtiar, Dana Pembangunan Usahawan, PUNB dan SME Corp.

"Pendekatan kena berbeza sedikit dengan mencari usahawan yang benar-benar serius mahu melakukan perniagaan, memantau rapat perkembangan mereka dan pada satu tahap mereka perlu digraduasikan daripada agensi terbabit untuk di bawa ke perhatian institusi perbankan komersial," katanya.

INFO:

* TERAJU ditubuhkan oleh Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 8 Februari 2011.

* Objektif utama ialah menerajui, mengurus serta memacu inisiatif bagi terus memperkukuhkan agenda pembangunan Bumiputera.

251 dibaca
Berita Harian X