Rabu, 7 March 2018 | 4:15pm
YOSHITAKA Nakamura (tiga dari kanan) pada pelancaran kamera Fujifilm X-H1. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Fujifilm tawarkan kamera untuk profesional

KUALA LUMPUR: Fujifilm (Malaysia) Sdn Bhd (Fuji Malaysia) menyasarkan jualan sebanyak 500 unit bagi kamera berprestasi tinggi terbaharu, X-H1 menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Urusannya, Yoshitaka Nakamura berkata, sasaran terbabit dilihat mampu dicapai kerana ia adalah dihasilkan bagi memenuhi keperluan jurugambar dan juruvideo profesional yang bekerja dalam suasana mencabar dengan tekanan tinggi.

Menurutnya, syarikat merancang untuk melaksanakan kempen promosi agresif bagi kamera itu melalui sesi pembabitan dengan jurugambar dan juruvideo akhbar daripada syarikat media di negara ini bagi mencapai sasaran jualan terbabit.

"Kamera ini diyakini mampu menarik perhatian mereka kerana ia direka untuk golongan itu yang biasanya perlu merakamkan acara yang menampilkan aksi pergerakan pantas seperti sukan, berita, fesyen, komersial atau sukan motor," katanya pada pelancaran kamera X-H1 di sini, hari ini.

X-H1 adalah kamera berprestasi tinggi dalam siri kamera tanpa cermin X-Series, yang tampil dengan pelbagai ciri berguna untuk menyokong rakaman foto dan video berkualiti tinggi dalam pelbagai keadaan.

Antara ciri terbaharu kamera itu adalah ia menampilkan reka bentuk badan lebih kukuh dan tahan lasak serta menawarkan penstabilan imej dalaman (IBIS) '5 axis' terkini.

Mengulas lanjut, Nakamura berkata, pengenalan kamera terbabit diharap membantu sasaran syarikat untuk mencapai 30 peratus penguasaan pasaran kamera keseluruhan di Malaysia menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, syarikat juga menyasarkan untuk meningkatkan kedudukan dalam pasaran kamera tanpa cermin di Malaysia dalam tempoh tidak ditetapkan berbanding kedudukan kedua pada ketika ini.

"Untuk mencapai semua sasaran ini, kami berhasrat untuk memberi fokus kepada pengguna muda wanita dan golongan profesional kerana bilangan pelanggan daripada kumpulan ini masih rendah," katanya.

Kamera X-H1 mula boleh didapati di pasaran pada minggu depan melalui semua cawangan Fujifilm Wonder Photo Shop dan cawangan pengedar terkemuka pada harga RM7,988 (badan) dan RM9,188 (X-H1 bersama kit pemegang bateri).

359 dibaca
Berita Harian X