Khamis, 9 November 2017 | 1:56pm
KETUA Pegawai Digital DiGi, Praveen Rajan (kiri) hadir pada pelancaran aplikasi vcash di Subang Jaya. - Foto Muhammad Sulaiman

DiGi lancar vcash, kukuhkan perniagaan digital

SUBANG JAYA: Digi Telecommunications Sdn Bhd melancarkan perkhidmatan aplikasi pembayaran tanpa tunai mudah alih, vcash sebagai sebahagian usaha mengukuhkan perniagaan digital syarikat.

Ketua Pegawai Digital DiGi, Praveen Rajan, berkata vcash adalah antara inisiatif pihaknya bagi mencapai sasaran 10 peratus sumbangan pendapatan kepada syarikat adalah daripada perniagaan digital.

Katanya, ketika ini sumbangan pendapatan daripada perniagaan digital adalah masih kecil memandangkan mereka baru bermula setahun yang lalu.

"Selepas memperkenalkan strategi Kenderaan Terhubung yang komprehensif akhir tahun lalu, kali ini kami melancarkan perkhidmatan e-dompet pula bagi mengukuhkan lagi perniagaan digital syarikat.

"Ketika ini, vcash sudah boleh digunakan di lebih 500 peniaga seluruh negara merangkumi pelbagai perniagaan dan kami menyasar untuk meningkatkan jumlah ini kepada 2,000 peniaga menjelang akhir tahun ini," katanya pada pelancaran aplikasi itu, di sini.

Mengulas lanjut, Praveen berkata, vcash yang dibangunkan dengan kerjasama Valyou Sdn Bhd, kini sudah boleh dimuat turun secara percuma di Apple App store dan Google Play.

Katanya, pendaftaran juga adalah percuma dan pengguna tidak akan dikenakan sebarang kos atau yuran ketika menggunakan aplikasi itu.

"Cara penggunaannya cukup mudah, pertama sekali pengguna boleh mendeposit wang sama ada dari perbankan dalam talian atau di kedai DiGi ke dalam vcash.

"Selepas itu, imbas kod QR di mana-mana rakan niaga yang mengambil bahagian, masukkan amaun pembayaran dan urus niaga anda selesai," katanya.

Selain pembayaran, vcash juga membolehkan pemindahan wang di antara pengguna vcash dan bukan menerusi nombor telefon.

Kelebihan vcash untuk peniaga pula, katanya yuran transaksi ialah sebanyak 0.8 peratus, 50 peratus lebih rendah berbanding kad debit dan kad kredit yang mengenakan caj di antara 1.5-2.0 peratus.

"Selain itu, peniaga tidak perlu memasang peralatan khas untuk menggunakan vcash, sebaliknya hanya perlu menampal pelekat kod QR di kaunter pembayaran. Mereka akan menerima wang daripada pelanggan vcash dalam tempoh satu atau dua hari.

"Dengan vcash, peniaga turut berpeluang mengenali pelanggan mereka dengan lebih baik apabila berupaya mengetahui tabiat dan corak perbelanjaan pelanggan serta analisis terhadap pesaing," katanya.

Info:

- vcash adalah perkhidmatan pembayaran mudah alih DiGi

- Peniaga hanya dikenakan yuran transaksi 0.8 peratus

643 dibaca
Berita Harian X