Rabu, 9 Ogos 2017 | 5:33pm

Japan Display mahu kurangkan kakitangan

TOKYO: Japan Display Inc akan mengurangkan 30 peratus tenaga kerjanya kerana bergelut dengan permintaan perlahan bagi produk berkaitan iPhone daripada Apple Inc, selain penyertaan lewat dalam segmen skrin diot pemancar cahaya organik (OLED).

Skrin paparan kristal cecair (LCD) adalah kekuatan utama Japan Display, dengan lebih separuh jualannya datang daripada permintaan LCD bagi iPhone.

Bagaimanapun, ia terperangkap dengan perubahan pantas dalam aliran kepenggunaan apabila pengeluar telefon bimbit beralih kepada paparan OLED yang lebih nipis dan fleksibel bagi model canggih.

Apple dijangka mula menggunakan OLED bagi iPhone akhir tahun ini.

Japan Display yang sedang menstruktur semula perniagaan pengeluaran skrin telefon pintarnya yang bermasalah, merancang untuk menghasilkan secara besar-besaran panel OLED bagi telefon pintar pada 2019 untuk bersaing dengan syarikat Korea Selatan seperti Samsung.

"Kami tidak melihat masa depan bagi perniagaan panel telefon pintar tanpa OLED," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nobuhiro Higashiiriki, dalam taklimat selepas syarikat melaporkan keputusan kewangan suku pertamanya.

Berdepan kerugian sejak tiga tahun lalu, Japan Display mencatat kerugian bersih 31.46 bilion yen (RM1.22 bilion) bagi suku berakhir Jun, berbanding kerugian 11.8 bilion yen (RM460 juta) setahun lalu.

Ia lebih buruk berbanding unjuran purata kerugian 18.1 bilion yen (RM706 juta) yang dibuat oleh empat penganalisis Thomson Reuters.

Syarikat tidak memberikan tinjauan seluruh tahun, namun berkata ia menjangka mencatatkan kerugian khas 170 bilion yen (RM6.62 bilion) disebabkan penstrukturan semula perniagaan bagi tahun berakhir Mac 2018.

Higashiiriki berkata, firma itu mungkin mendapatkan suntikan modal daripada pelabur luar bagi membantu membiayai penstrukturan semula itu.

Ia menerima bantuan 75 bilion yen (RM2.9 bilion) tahun lalu daripada pelabur utamanya, Innovation Network Corp of Japan (INCJ).

Penganalisis menjangkakan pengeluar skrin dari China sebagai pelabur berpotensi.

Bagaimanapun, wujud keraguan jika INCJ akan membenarkan syarikat China memiliki kepentingan di dalam firma berkenaan, kata Ketua Penganalisis Pasaran Securities Japan, Masayuki Otani. - Reuters

284 dibaca
Berita Harian X