Isnin, 7 Ogos 2017 | 1:47pm
DATUK Seri Nancy Shukri (tengah) melancarkan aplikasi tempahan teksi 'Pick n Go' Sunway Velocity Mall. Turut hadir, (dari kiri) Pengasas, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Manage Pay Systems Berhad, Datuk Chew Chee Seng, Pengarah Urusan Pick n Go Sdn Bhd, Gary Yong, Pengarah Eksekutif Pick n Go Sdn Bhd, Valerie Chan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Shopping Mall and Theme Parks, Chan Hoi Choy.- Foto Asyraf Hamzah

PICKnGO, aplikasi tempah teksi terbaharu

KUALA LUMPUR: Warga Lembah Klang kini ditawarkan dengan satu lagi kemudahan perkhidmatan 'e-hailing' terbaru menerusi pelancaran aplikasi tempahan teksi, PICKnGO.

PICKnGO ialah aplikasi tempahan teksi yang dibangunkan hasil kerjasama lima syarikat teksi tempatan iaitu New Supercab Sdn Bhd; Uptownace (M) Sdn Bhd; Damai Kota Cab Sdn Bhd; Syarikat Pemandu dan Pemilik Teksi Bhd dan Perniagaan Lima Sejati Sdn Bhd.Sama seperti kemudahan perkhidmatan 'e-hailing' lain, PICKnGO kini boleh dimuat turun di mana-mana telefon pintar secara percuma.

Selain pembayaran secara tunai, penumpang juga boleh membayar sama ada menggunakan kad kredit atau debit.

Aplikasi itu juga dilengkapi dengan butang SOS sebagai langkah keselamatan tambahan kepada penumpang sekiranya merasakan keselamatan mereka terancam sewaktu menaiki teksi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pelancaran aplikasi itu adalah bukti yang menunjukkan kerajaan tidak menyokong syarikat gergasi saja, tetapi juga syarikat tempatan.

Katanya, kerajaan sentiasa fokus dalam memastikan sistem pengangkutan awam sentiasa efisien bagi membolehkan rakyat Malaysia bergerak dengan pantas, selamat dan mudah.

"Dengan pengenalan aplikasi PICKnGO khusus kepada para pemandu teksi, diharapkan kebajikan pemandu dapat terus ditingkatkan.

"Saya berharap yang aplikasi ini dapat membantu pemandu teksi untuk mendapat akses kepada permintaan pengguna dalam pasaran e-hailing yang semakin meningkat hari ini dan seterusnya menjana pendapatan yang lebih melalui sistem tempahan perjalanan yang teratur dan sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat sebagai pengguna perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran aplikasi itu di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Pengarah Eksekutif PICKnGO, Valerie Chan.

Sementara itu, Valerie berkata, setakat ini seramai 1,000 pemandu teksi sudah mendaftar dengan pihaknya dan menyasarkan mahu menarik sehingga 10,000 pemandu dalam tempoh setahun.

"Sambutan yang kami terima juga amat memberangsangkan apabila sejak empat hari aplikasi ini diperkenalkan bermula Jumaat lalu, sudah 1,500 penumpang menggunakan perkhidmatan ini," katanya.

821 dibaca
Berita Harian X