Isnin, 12 March 2018 | 7:33pm

Ringgit kembali tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit kembali mengukuh selepas mengalami aliran menurun minggu lalu, dengan ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan minat mengambil risiko kini kembali, kata peniaga.

Pada 6 petang, nota tempatan itu disebut harga pada 3.9030.9060 berbanding 3.9100/9140 pada penutupan Jumaat.

Seorang peniaga berkata peningkatan data bukan ladang AS pada Februari, pada tahap paling kukuh dalam tempoh 1 hingga 12 tahun, membantu meningkatkan minat mengambil risiko di seluruh dunia, selari pengukuhan harga minyak.

"Perkembangan positif ini turut memberi manfaat kepada ringgit," katanya kepada Bernama.

Peniaga itu berkata ketegangan yang semakin reda antara AS dan Korea Utara membabitkan isu berkaitan nuklear juga membantu meningkatkan sentimen dalam pasaran.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain, kecuali euro, apabila nota tempatan meningkat kepada 4.8054/8095 berbanding 4.8093/8158 pada Jumaat.

Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.9678/9712 daripada 2.9653/9694 pada Jumaat, rendah berbanding yen kepada 3.6627/6666 daripada 3.6610/6662 dan susut berbanding pound British kepada 5.4076/4122 daripada 5.3997/3060 sebelumnya. - BERNAMA

1131 dibaca
Berita Harian X