Isnin, 12 March 2018 | 5:13pm

Saham Asia teruskan kenaikan

HONG KONG: Pasaran saham Asia meneruskan rali minggu lalu berikutan laporan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh melonjakkan keyakinan dalam ekonomi terbesar dunia itu, seterusnya mencatatkan rekod penutup di Wall Street.

Pasaran ekuiti meningkat, dengan sentimen yang masih teguh berikutan keputusan Donald Trump untuk berjumpa dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dalam satu persidangan yang tidak pernah terjadi sebelum ini bagi membincangkan mengenai program nuklearnya.

Perkembangan yang meyakinkan itu membantu mengurangkan kebimbangan mengenai pengumuman kenaikan tarif keluli dan aluminium yang mencetuskan jualan, awal bulan ini berikutan kebimbangan berlakunya perang dagangan.

Tiga indeks utama di New York meningkat hampir dua peratus pada Jumaat lalu dengan Nasdaq mencatatkan rekod baharu dan memadamkan semua kerugian yang berlaku pada Februari lalu.

Kenaikan itu turut berlanjutan ke Asia dengan Tokyo ditutup 1.7 peratus lebih tinggi manakala Hong Kong menokok 1.9 peratus dan Shanghai ditutup 0.6 peratus lebih tinggi dan Seoul menambah satu peratus.

Sydney naik 0.6 peratus, dibantu oleh berita bahawa Australia turut mendapat pengecualian daripada tarif Trump, manakala Singapura meningkat 1.6 peratus dan Taipei menokok lebih daripada satu peratus.

Peningkatan juga turut berlaku di Wellington, Manila dan Jakarta. -AFP

132 dibaca
Berita Harian X