Isnin, 12 March 2018 | 2:10pm

Prestasi bank tempatan terus cemerlang

KUALA LUMPUR: Bank tempatan dijangka meneruskan prestasi cemerlang tahun ini, disokong oleh pertumbuhan pinjaman, asas ekonomi makro lebih kukuh dan pemulihan sektor minyak dan gas, demikian menurut agensi penarafan antarabangsa, Moody's Investors Service.

Enam bank yang diberikan penarafan di Malaysia menunjukkan prestasi kukuh pada 2017 dengan peningkatan kualiti aset dan keuntungan sementara modal dan pembiayaan tetap mencukupi.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanannya, Simon Chen, berkata pihaknya menjangkakan permintaan pinjaman kembali pulih pada 2018 sekaligus mengukuhkan keuntungan tetapi pada masa sama mengetatkan syarat pendanaan.

"Hasilnya, pertumbuhan keuntungan dalam kalangan bank dengan francais deposit yang lemah mungkin terhad oleh kos pendanaan yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan merujuk kepada laporan bertajuk 'Banks - Malaysia: 2017 sees asset quality stabilize, profits improve' yang dikeluarkan baru-baru ini.

Enam bank yang diberikan penarafan dalam laporan itu adalah Malayan Banking Bhd (A3/A3 stabil, a3); CIMB Group Holdings Bhd (Baa1 stabil); Public Bank Bhd (A3 stabil, a3); RHB Bank Bhd (A3/A3 stabil, baa3); Hong Leong Bank Bhd (A3 stabil, baa1) dan AmBank (M) Bhd (Baa1/Baa1 stabil, baa3).

Moody's berkata, kualiti aset akan mendapat manfaat daripada keadaan makroekonomi yang lebih kukuh pada 2018, di dalam dan luar negara, manakala bank yang terdedah kepada sektor minyak dan gas harus melihat kestabilan kualiti aset mereka pada harga minyak yang lebih kukuh.

Nisbah pinjaman terjejas kebanyakan bank kekal stabil pada 2017, walaupun bank yang mempunyai operasi yang cukup besar di bahagian lain di Asia Tenggara mencatatkan nisbah pinjaman kasar terjejas yang lebih tinggi kerana isu kualiti aset di kalangan peminjam korporat yang berkaitan dengan komoditi.

"Kebanyakan bank mencatatkan keuntungan yang lebih baik pada 2017, didorong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil, margin faedah bersih yang stabil dan kos pinjaman yang sederhana.

"Tambahan lagi, keadaan yang menggalakkan ini harus diteruskan ke 2018, dan usaha transformasi digital yang berterusan akan menyokong pertumbuhan yang lebih kukuh dalam hasil dan kecekapan kos.

"Pertumbuhan pinjaman juga bakal melantun semula pada 2018, disokong oleh permintaan korporat yang lebih tinggi dan pinjaman pengguna yang stabil ditambah dengan kestabilan margin faedah bersih yang sekaligus menyokong keuntungan bank," katanya.

Moody's juga menjangkakan kos kredit secara keseluruhan akan meningkat berbanding 2017, didorong terutamanya oleh caj kredit lebih tinggi yang diperlukan di bawah Malaysian Financial Reporting Standards 9 (MFRS 9) berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Nisbah modal juga katanya meningkat pada 2017 daripada pertumbuhan yang dilancarkan dalam aset berwajaran risiko (RWA), pelan pelaburan semula dividen, dan inisiatif pengoptimuman RWA oleh sesetengah bank.

"Walaupun bank pada amnya dapat menyokong pertumbuhan kunci kira-kira mereka melalui pendapatan tetap pada 2018, ada yang menganggarkan bahawa pelaksanaan MFRS9 akan menghasilkan nisbah 20-80 asas Common Equity Tier 1 (CET1)," katanya.

160 dibaca
Berita Harian X