Rabu, 14 Februari 2018 | 9:41pm

Harga minyak global susut

SINGAPURA: Harga minyak mentah susut pada Rabu, didorong lebihan bekalan termasuk peningkatan inventori Amerika Syarikat (AS).

Niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate berada pada AS$59.06 satu tong pada 0741 GMT, susut 13 cents daripada sesi penutup terakhirnya. WTI diniagakan lebih AS$65 pada awal Februari.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$62.68 satu tong, susut 4 cents. Brent diniagakan lebih AS$70 satu tong pada awal bulan ini.

Menteri Tenaga Arab Saudi berkata, pengeluaran minyak mentah Saudi Aramco pada Mac akan 100,000 tong sehari (bpd) lebih rendah daripada paras Februari manakala eksport akan ditetapkan lebih rendah daripada tujuh juta bpd.

Penyusutan berterusan dolar AS serta pertumbuhan ekonomi juga menyokong harga minyak.

Namun begitu, penganalisis menyatakan tidak semua petunjuk meyakinkan.

"Walaupun kita terus menyaksikan permintaan kukuh pada tahun ini, pelabur harus mengambil kira petunjuk-petunjuk yang muncul," kata bank pelaburan RBC Capital Markets.

American Petroleum Institute pada Selasa, berkata inventori minyak mentah AS meningkat kira-kira 3.9 juta tong pada minggu berakhir 9 Februari, kepada 422.4 juta.

Ia berikutan peningkatan pengeluaran minyak mentah AS, yang melonjak lebih 20 peratus sejak pertengahan 2016 kepada lebih 10 juta bpd, melebihi pengeksport utama, Arab Saudi dan menghampiri pengeluar terbesar, Russia. - REUTERS

249 dibaca
Berita Harian X