Jumaat, 12 Januari 2018 | 6:19pm
Fello Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zulkiply Omar. - Foto Halim Salleh

Ringgit kukuh, manfaat kepada kerajaan, pengguna dan syarikat

KUALA LUMPUR: Pengukuhan nilai ringgit ketika ini memberi kesan sangat positif dan manfaat kepada kerajaan dan pengguna serta syarikat yang mempunyai hutang luar negara daripada segi bayaran faedah dalam mata wang asing terutamanya dolar Amerika Syarikat (AS).

Mata wang tempatan itu yang kini diniagakan di bawah paras psikologi RM4.0 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berada pada RM3.9718 sedolar petang ini, tertinggi sejak Julai 2016.

Fello Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zulkiply Omar, berkata ringgit yang meningkat menjadikan pelaburan syarikat Malaysia ke luar negara menjadi lebih murah dan harga barangan import yang biasanya berasas dolar menjadi lebih rendah.

"Ini akan memberi manfaat kepada syarikat dari segi pengurangan kos pengeluaran jika mereka menggunakan input yang diimport.

"Barangan pengguna yang diimport juga secara langsung menjadi lebih murah, manakala barangan pengguna yang dikeluarkan di dalam negara turut berkemungkinan menjadi lebih murah sekiranya penjimatan kos pengeluaran oleh pengeluar disalurkan kepada pengguna.

"Keadaan ini dijangka memberi penekanan menurun kepada kadar inflasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, peningkatan ringgit dipacu oleh permintaan untuk ringgit yang tinggi yang mana didorong dua faktor utama iaitu pengukuhan ekonomi dan sentimen positif terhadap negara.

"Selain itu, Indeks Komposit Kuala Lumpur yang menunjukkan trend meningkat sejak akhir tahun lalu juga memberi kesan positif kepada peningkatan nilai ringgit," katanya.

Mengenai sama ada trend pengukuhan ringgit akan berterusan, Dr Zulkiply berkata, ia dijangka berterusan tahun ini disokong oleh permintaan global yang sihat.

"Ekonomi utama dunia terus menunjukkan prestasi yang baik, terutama di kalangan rakan dagang negara, seperti AS, wilayah Eropah dan Jepun," katanya.

Namun begitu, beliau berkata, peningkatan nilai ringgit kini bukan berlaku secara mendadak tetapi secara perlahan sejak awal tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi di Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peningkatan nilai ringgit memberi kesan cukup baik kepada rakyat Malaysia, terutama mereka yang gemar melancong ke luar negara atau mempunyai anak yang melanjutkan pelajaran di seberang laut.

"Selain itu, kita dapati pasaran saham Malaysia buat masa ini juga banyak didominasikan oleh kaunter berasaskan sektor minyak dan gas yang mana dagangan yang aktif banyak berlaku di dalam industri berkenaan.

"Perkara itu sekali gus menguatkan lagi hujah bahawa kenaikan harga minyak dunia dijangka akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia, sama ada daripada segi pendapatan kerajaan mahu pun syarikat yang terbabit secara langsung dalam industri minyak dan gas," katanya

Bagaimanapun katanya, sektor berasaskan eksport mungkin sedikit terjejas kerana harga jualan apabila diterjemahkan kepada mata wang asing akan dilihat mahal dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada hasil jualan dan juga keuntungan mereka.

"Namun, industri pembuatan yang berasaskan eksport seperti sektor elektrik dan elektronik serta sarung tangan getah giat melabur untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka.

"Oleh itu, skala ekonomi yang baik akan membantu meningkatkan produktiviti dan mampu untuk mencatatkan keuntungan tinggi selain mengekalkan penguasaan pasaran," katanya.

Pada masa sama katanya, perlu ada beberapa pengambilan untung untuk menambah rangsangan kepada ringgit dan dalam erti kata lain ia mengambil sedikit masa untuk mencapai tahap sokongan seterusnya pada RM3.8208.

Info:

- Prestasi cemerlang ringgit antara lain dipengaruhi oleh peningkatan harga minyak mentah dunia dan dolar yang lemah.

- Ringgit meningkat membantu mengurangkan kos import terutama bagi barangan separuh siap yang diimport mahupun industri yang banyak menggunakan bahan import seperti automotif, farmaseutikal dan industri berasaskan rel kereta api.

301 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »