Jumaat, 12 Januari 2018 | 2:41pm

Mubadala Investment tinjau jual ekuiti RHB

KUALA LUMPUR: Dana pelaburan kerajaan Abu Dhabi, Mubadala Investment Co. (Mubadala) sedang meneroka pilihan bagi kepentingannya dalam bank keempat terbesar di Malaysia, RHB Bank termasuk menjualnya.

Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber yang mempunyai maklumat berkaitan, Mubadala telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan penasihat yang berpotensi untuk mendapatkan cadangan mengenai pegangannya dalam RHB Bank, berjumlah 17.8 peratus.

Dana itu melihat pegangannya dalam RHB Bank sebagai bukan teras dan sedang mempertimbang pilihan bagi kepentingan itu sebagai sebahagian daripada kajian semula portfolio yang lebih luas, kata sumber.

Kepentingan Mubadala bernilai sekitar RM3.66 bilion (AS$920 juta) berdasarkan harga penutup pada Khamis.

Menurut data yang dikumpul oleh Bloomberg, cabang Aabar Investments itu ialah pemegang saham kedua terbesar dalam RHB Bank.

Ia menyusuli kedudukan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menjadi pemegang saham terbesar, 40.7 peratus.

Sumber itu berkata, rundingan masih di peringkat awal dan masih tiada sebarang kata putus mengenainya.

Mubadala, yang mempunyai portfolio bernilai AS$127 bilion, mewarisi pelaburan RHB Bank menerusi gabungan dengan dana pelaburan kerajaan Abu Dhabi yang lain, International Petroleum Investment Co. (IPIC) yang dimuktamadkan tahun lalu.

Ia telah mengkaji beberapa aset yang dimilikinya menerusi penggabungan, kata sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu pada November lalu.

Mubadala menjalin kerjasama dengan firma perundingan, A.T. Kearney Inc. mengenai pilihan, termasuklah penjualan aset dan penggabungan dalam portfolio, kata sumber.

Jurucakap Mubadala berkata, pihaknya sentiasa mengkaji portfolio bagi peluang yang lebih baik untuk hasil kewangan yang terbaik.

Sementara itu, wakil daripada RHB Bank berkata, beliau tidak boleh memberikan komen serta merta.

Sebarang perjanjian boleh menamatkan pelaburan selama satu dekad dalam RHB Bank dari negara yang kaya dengan hasil minyak itu.

Abu Dhabi Commercial Bank PJSC yang dimiliki kerajaan ialah entiti yang mula-mula membeli kepentingan dalam RHB Bank pada 2008. Ia kemudiannya menjual semua saham itu kepada cabang pelaburan Aabar Investments, IPIC pada 2011.

Abu Dhabi mula mengumumkan pelan untung menggabungkan Mubadala dan IPIC sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan negara berkenaan pada 2016 bagi menampung kejatuhan harga minyak.

Entiti gabungan itu berada pada senarai ke-14 dana terbesar di dunia, menurut Sovereign Wealth Fund Institute.

79 dibaca
Berita Harian X