Jumaat, 12 Januari 2018 | 11:01am
- Foto hiasan

Ringgit catat kenaikan ketara

KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat kenaikan ketara berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini apabila mencecah paras yang tidak pernah dicatatnya sejak Julai 2016, susulan sentimen positif terhadap mata wang tempatan yang didorong pertumbuhan ekonomi kukuh negara.

Pada 9.16 pagi, mata wang tempatan berada pada 3.9750/9780 berbanding dolar AS daripada 3.9850/9900 ketika pasaran ditutup semalam.

Peniaga berkata, ringgit berada di bawah nilai bagi tempoh yang agak lama sebelum mula mencatat dagangan ke arah harga saksama susulan pengumuman data ekonomi yang positif baru-baru ini.

Sementara itu, Kenanga Research berkata Indeks Pengeluaran Perusahaan (IPI) Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu lima peratus berbanding tahun pada November, melepasi jangkaan 4.3 peratus dan konsensus penengah Bloomberg pada 4.6 peratus.

"Berdasarkan peningkatan data IPI pada November, kita mungkin menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sedikit kukuh bagi suku keempat 2017. Oleh itu kami mengekalkan unjuran KDNK pada 5.5 peratus bagi suku keempat dan 5.8 peratus bagi setahun penuh 2017.

"Pertumbuhan IPI yang lebih tinggi berbanding jangkaan itu mungkin menunjukkan trajektori pertumbuhan ekonomi kekal baik mengatasi potensinya atau melebihi lima peratus pada suku keempat, mengukuhkan faktor bagi Bank Negara Malaysia menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas seawal suku pertama 2018," menurut Kenanga Research dalam nota di sini, hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Nota tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9928/9953 daripada 2.9886/9926 ketika ditutup pada Khamis dan susut berbanding yen kepada 3.5734/5770 daripada 3.5695/5749.

Ringgit lemah berbanding pound kepada 5.3873/3918 daripada 5.3738/3821 dan turun berbanding euro kepada 4.7915/7955 daripada 4.7605/7681 semalam. - BERNAMA

1412 dibaca
Berita Harian X