Rabu, 13 September 2017 | 9:35pm
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro bercakap semasa pertemuan dengan menteri di Istana Miraflores di Caracas, Venezuela. - Foto REUTERS

Langkah had bekalan minyak mungkin diteruskan

CARACAS: Perjanjian antara anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan-OPEC untuk mengehadkan pengeluaran 'pasti' akan berterusan melangkaui bulan Mac 2018, kata Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Maduro berkata, beliau sudah membincangkan isu berkenaan dengan rakan sejawatnya di Iran, Hassan Rouhani, pada sesi lawatannya ke Asia Barat pada hujung minggu lalu, dan kemungkinan perjanjian itu dilanjutkan 'adalah amat besar'.

"Pada 20 September, akan berlangsung mesyuarat menteri minyak di Vienna. Keadaannya kini lebih memihak kepada perjanjian pengukuhan berkaitan pengeluaran dan peraturan pasaran," kata beliau dalam satu siaran televisyen.

"Besar kemungkinan perjanjian itu akan dilanjutkan."

Pada akhir tahun lalu, OPEC dan pengeluar minyak utama lain termasuk Russia bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 1.8 juta tong sehari bagi menyeimbangkan harga minyak mentah yang amat rendah.

Pada Mei lalu, mereka bersetuju melanjutkan perjanjian sehingga Mac 2018 bagi menstabilkan pasaran.

Awal pagi semalam, menteri dari Russia dan Venezuela bertemu di Moscow dan mengesahkan komitmen masing-masing untuk melaksanakan pengurangan pengeluaran secara menyeluruh, kata Kementerian Tenaga Russia dalam satu kenyataan.

Russia dan Arab Saudi sudah berbincang melanjutkan perjanjian pengurungan bekalan namun masih belum membuat sebarang keputusan, lapor agensi berita, TASS pada minggu lalu. - Reuters

196 dibaca
Berita Harian X