Rabu, 13 September 2017 | 12:08pm

Ringgit semakin mengukuh

KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama pada awal dagangan hari ini susulan peningkatan permintaan terhadap unit domestik itu, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit disebut pada harga 4.2050/2080 berbanding dolar AS yang ditutup pada 4.2060/2090 Selasa.

Peniaga berkata, lantunan ringgit disebabkan pengukuhan harga minyak dalam dagangan Asia manakala dolar AS masih berhati-hati kepada berita seperti ketegangan geopolitik berhubung Korea Utara melancarkan satu lagi ujian peluru berpandu.

"Bagaimanapun, peniaga masih menanti data kadar faedah AS yang akan dikeluarkan sedikit masa lagi yang akan memberi petunjuk baharu kepada tukaran asing dan prestasi ringgit," katanya.

Nota tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1243/1277 daripada 3.1244/1275 penutup Selasa dan menokok berbanding yen kepada 3.8179/8209 daripada 3.8341/8372 sebelumnya.

Ringgit lebih lemah berbanding pound British kepada 5.5859/5916 daripada 5.5763/5820 dan susut berbanding Euro kepada 5.0330/0382 daripada 5.0304/0352 . - BERNAMA

923 dibaca
Berita Harian X