Rabu, 13 September 2017 | 10:04am

Bursa Malaysia mendapat momentum

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah sedikit pagi ini tetapi mencatat lantunan kemudiannya, menjejaki kenaikan pasaran serantau dan disokong minat belian bagi kaunter terpilih termasuk perladangan dan teknologi, kata peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.98 pada 1,790.84 berbanding 1,789.86 penutup semalam.

Terdahulu, indeks penanda aras itu dibuka 0.48 mata lebih rendah pada 1,789.38.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 184 berbanding 70 dengan 243 kaunter tidak berubah, 1,336 tidak didagangkan dan 26 yang lain digantung urus niaga.

Sejumlah 230.94 juta saham bertukar tangan bernilai RM56.58 juta.

Maybank Investment Bank Research menjangka bursa tempatan didagangkan antara 1,780 dan 1,797 hari ini dengan paras sokongan diramalkan antara 1,766 dan 1,756.

"FBM KLCI menokok 7.12 mata kepada 1,789.86 semalam, diterajui kenaikan dalam kaunter berkaitan indeks terpilih seperti Petronas Gas, IHH Healthcare dan MISC.

"Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 489 kepada 395.

"Keyakinan diperbaharui, dipacu rekod penutupan tertinggi semalaman di Wall Street, yang dijangka dapat melanjutkan kenaikan FBM KLCI untuk hari ketiga berturut-turut.

"Saham teknologi juga dijangka menarik minat selepas Apple mendedahkan iPhone 8," katanya.

Dalam kalangan kaunter utama, Maybank susut empat sen kepada RM9.66, Sime Darby turun tiga sen kepada RM9.10, TNB mendatar pada RM14.58 manakala Public Bank menokok 14 sen kepada RM20.76. - BERNAMA

138 dibaca
Berita Harian X