Sabtu, 12 Ogos 2017 | 10:18am

Ringgit dijangka naik minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meningkat sedikit minggu depan, dalam jajaran kecil antara 4.2800 dan 4.2900 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pakar Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank, Dr Kamaruddin Mohd Nor, berkata mata wang tempatan itu dijangka mendapat sokongan daripada sentimen positif dalam pasaran tempatan susulan perkembangan mengenai suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Laporan suku kedua KDNK yang akan diumumkan pada Jumaat depan dijangka memaparkan satu lagi prestasi positif berdasarkan data ekonomi Malaysia yang diumumkan setakat ini.

"Berita pembayaran hutang 1MDB kepada syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co. PJSC (IPIC) daripada program rasionalisasinya, turut menyuntik sentimen positif ke dalam pasaran tempatan," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, kata Kamaruddin, ketegangan politik antara AS dan Korea Utara dijangka terus menjejaskan mata wang negara sedang pesat membangun di Asia, termasuk ringgit berikutan sentimen risiko di pasaran apabila pelabur bertindak memilih aset selamat.

Sementara itu, Hong Leong Research berkata, ringgit susut 0.3 peratus bagi asas minggu ke minggu berbanding dolar AS, namun tinggi berbanding lapan daripada kelompok 10 negara lain.

"Kami mengekalkan pandangan bahawa ringgit akan susut sedikit pada minggu depan berbanding dolar AS, kemungkinan diasak oleh kebimbangan mengenai faktor geopolitik serta risiko menjelang (pengumuman) laporan KDNK.

"Selain daripada faktor itu, kami menjangkakan pergerakan ringgit akan turut dipengaruhi oleh prestasi dolar AS," katanya.

Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan rendah pada 4.2935/2965 berbanding dolar AS daripada 4.2770/2800 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lainnya, kecuali yen Jepun.

Ia tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1461/1495 daripada 3.1534/1570 minggu lalu, naik berbanding pound Britain kepada 5.5644/5696 daripada 5.6264/6312 dan meningkat berbanding euro kepada 5.0479/0518 daripada 5.0811/0864 sebelum ini.

Unit tempatan itu bagaimanapun lemah berbanding yen Jepun iaitu kepada 3.9365/9396 daripada 3.8857/8895 pada Jumaat lalu. - BERNAMA

Berita Harian X