Rabu, 2 Ogos 2017 | 8:00pm
TAN Sri Ismail Adam (lima kiri) bersama Duta China di Malaysia, Huang Huikang (tengah), Patrick Hwang Chee Leong (tiga kiri), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz (empat kiri) dan Fu Chengjun (empat kanan) pada majlis menandatangani perjanjian Pakej kerja LRT3 Light Rail Vehicles (LRV) di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.- Foto Zulfadhli Zulkifli

Konsortium CRRC ZELC-Siemens-Tegap Dinamik menang kontrak tren LRT3

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd menganugerahkan pakej kerja Kenderaan Rel Ringan (LRV) bagi projek transit aliran ringan (LRT3) bernilai RM1.56 bilion kepada Konsortium CRRC Zhuzhou Locomotive Co Ltd (CRRC ZELC)-Siemens Limited China-Tegap Dinamik Sdn Bhd.

Konsortium berkenaan akan bertanggungjawab mereka bentuk, mengeluar, membekal, menghantar, memasang, menguji dan mengendalikan 42 LRV enam gerabak bagi projek LRT3.

Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Ismail Adam, berkata penganugerahan pakej kerja itu adalah pencapaian penting bagi projek LRT3 dan yakin konsortium berkenaan akan dapat menyiapkan kerja-kerja seperti yang dipertanggungjawab mengikut jadual.

"Saya harap pakej kerja ini akan dimulakan sebaik saja perjanjian dimeterai," katanya pada majlis memeterai perjanjian mereka bentuk, mengeluar, membekal, menghantar, memasang, menguji dan mengendalikan LRV bagi projek LRT3 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Prasarana diwakili Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, manakala konsortium CRRC ZELC-Siemens Limited China-Tegap Dinamik diwakili oleh Presiden CRRC ZELC, Fu Chengjun.

Rakan pelaksana projek (PDP) LRT3, MRCB George Kent Sdn Bhd diwakili Pengarah Korporatnya, Patrick Hwang.

Sementara itu, Azmi berkata Prasarana akan mengumumkan pemenang bidaan bagi tiga lagi pakej kerja utama projek LRT3 sebelum akhir bulan ini.

Katanya, tiga pakej kerja utama itu secara keseluruhannya membabitkan nilai antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion.

"Ini antara pakej kerja utama yang akan diberikan kepada syarikat tempatan, manakala beberapa lagi pakej kerja kecil akan diagihkan kelak. Kami menyasarkan 50 peratus daripadanya akan diberikan kepada syarikat Bumiputera," katanya.

Pakej kerja LRV dianggap antara pakej kerja sistem terbesar yang ditawarkan oleh projek LRT3.

Lima syarikat menyertai pra-kelayakan untuk membida pakej kerja berkenaan pada Mei 2016, dengan hanya konsortium CRRC ZELC-Siemens Limited China-Tegap Dinamik yang menghantar bidaan semasa tender ditutup pada November 2016.

Berupaya membawa 1,271 penumpang bagi setiap tren, LRV bagi LRT3 itu akan menjadi tren tanpa pemandu enam gerabak pertama di Malaysia.

Setiap LRV mempunyai kapasiti bersamaan 28 unit bas, dengan kelajuan maksimum 90 kilometer sejam.

Bagi menjamin keselesaan penumpang, LRV berkenaan akan dilengkapi kawalan had sentakan, penebat bunyi dan pelbagai kemudahan mesra orang kelainan upaya.

Sebagai rel mesra alam pertama Malaysia, sistem pendingin hawa LRV akan mesra ozon manakala brek geserannya bebas asbestos.

INFO:

* Sehingga kini, 11 daripada 59 pakej kerja LRT3 sudah dianugerahkan.

* 59 pakej kerja itu antara lain membabitkan 10 pakej stesen dan laluan jejambat, satu pakej kerja bawah tanah dan dua pakej kerja depoh tren

* LRT3 merangkumi laluan sepanjang 37 kilometer dari Bandar Utama ke Klang

* Ia akan sedia akses kepada 74,000 penumpang setiap hari di Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya sebaik disiapkan pada 2020

1151 dibaca
Berita Harian X