Jumaat, 12 Oktober 2018 | 2:15pm
GAMBAR fail, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto Rosela Ismail

Dagangan borong, runcit Ogos meningkat

KUALA LUMPUR: Jualan perdagangan borong dan runcit pada Ogos 2018 meningkat 10.7 peratus tahun ke tahun kepada RM107.9 bilion, kata Jabatan Perangkaan.

Dalam kenyataannya, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengembangan ini disumbangkan oleh perdagangan runcit yang meningkat 14.8 peratus, terutama bagi jualan di kedai pengkhususan, jualan di kedai bukan pengkhususan dan jualan di kedai khusus yang menjual peralatan komunikasi dan maklumat sempena tempoh sifar cukai.

“Jualan kenderaan meningkat 10.6 peratus dalam tempoh yang sama, terutama disebabkan oleh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan berkadar sifar sebelum Cukai Jualan dan Perkhidmatan dilaksanakan pada 1 September 2018.

Pada asas bulanan, nilai jualan meningkat 1.3 peratus, disokong oleh perdagangan borong yang tumbuh 3.6 peratus dan perdagangan runcit sebanyak 0.1 peratus dalam tempoh yang sama.

Indeks jumlah pelarasan bermusim perdagangan borong dan runcit meningkat 10.5 peratus berbanding Ogos 2017 untuk mencatatkan 174.4 mata, terutama oleh perdagangan runcit yang meningkat 13.9 peratus.

-BERNAMA

93 dibaca
Berita Harian X