Jumaat, 12 Oktober 2018 | 12:47pm
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Tan Sri Ranjit Singh (kiri) melancarkan Pelaburan Fest 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Kerajaan fokus usaha kurangkan pengangguran belia

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasar untuk menurunkan kadar pengangguran dalam kalangan belia di bawah 10 peratus berbanding 10.8 peratus ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ia dilaksanakan menerusi perancangan teliti di semua peringkat bagi menurunkan kadar pengangguran belia, punca utama yang menyumbang kepada kenaikan mendadak kadar penggangguran keseluruhan dalam negara.

“Peluang pekerjaan ini amat penting dan memang perlu ada satu usaha bersama semua kementerian lain untuk memastikan bahawa isu penggangguran ini dapat ditangani dengan baik.

“Ini kerana salah satu perkara yang ingin saya buat ialah untuk mengurangkan kadar penggangguran kepada satu angka. Jika dilihat di negara lain, mereka berjaya melakukannya dan kita juga mesti dapat melaksanakannya dengan lebih baik dari segi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti untuk orang muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Pesta BijakLabur 2018 di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Punca utama kenaikan kadar pengangguran belia disumbangkan oleh peningkatan pengangguran graduan yang meningkat kepada 9.6 peratus atau 204,000, mewakili 40.5 peratus daripada keseluruhan kadar pengangguran di Malaysia.

Pekerjaan berkemahiran tinggi untuk graduan baharu, seperti profesional dan separa profesional hanya mewakili 4.1 peratus daripada peluang pekerjaan yang ditawarkan tahun lalu manakala pekerjaan berkemahiran rendah menyumbang kepada 86.3 peratus.

Sementara itu, Ranjit berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung ke pesta selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Malah SC juga bersetuju untuk mengekalkan program perkhidmatan perancangan kewangan yang mula diperkenalkan tahun lalu iaitu #FinPlan4U susulan sambutan memberangsangkan yang diterima.

Pesta itu adalah antara inisiatif SC untuk mendidik masyarakat terutama golongan belia mengenai kepentingan melabur dari awal.

SC juga memperkenalkan satu permainan interaktif, ‘Jump2Invest’ yang boleh dimuat turun dalam Google Play dan Apple Store.

Ia akan memberi pengetahuan asas mengenai pasaran modal kepada pemain serta membina portfolio pelaburan mereka.

117 dibaca
Berita Harian X