Khamis, 17 Mei 2018 | 9:37pm

TH mula operasi cawangan Sepang

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) meluaskan perkhidmatan kepada lebih sembilan juta pendepositnya dengan memulakan operasi pejabat cawangan baharu di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) Sepang hari ini.

Pembukaan cawangan TH Sepang menunjukkan kesungguhan TH untuk memberikan kemudahan dan perkhidmatan terbaik kepada pendeposit di daerah Sepang dan kawasan sekitar serta bakal haji yang akan berlepas melalui MHCC Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi urusan pembukaan akaun, simpanan dan pengeluaran, mengemas kini akaun, pendaftaran haji dan sebagainya," kata TH dalam satu kenyataan hari ini.

Pembukaan Pejabat Cawangan TH Sepang ini juga berkonsepkan sebagai Pusat Khidmat Kewangan Islam (IFiC).

IFiC akan turut menempatkan agensi Islam lain yang bergabung di bawah satu bumbung untuk menjalankan urusan muamalat iaitu sistem kewangan Islam bersepadu seperti Tabung Haji Travel & Services dan Syarikat Takaful Malaysia Bhd.

- BERNAMA

722 dibaca
Berita Harian X