Selasa, 17 April 2018 | 3:24pm
SAMSUDIN Osman. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KWSP salur RM114.56 bilion

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyalurkan sebanyak RM114.56 bilion kepada pengurus portfolio luaran setakat 31 Disember 2017, meningkat 9.80 peratus berbanding RM104.37 bilion pada 2016.

Jumlah alokasi itu yang dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan pelaburan tetap, mewakili 14.5 peratus daripada keseluruhan jumlah pendapatan pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman, berkata kumpulan dana persaraan itu akan terus menyalurkan sebahagian dana sebagai inisiatif mempelbagaikan pelaburan dengan pengurus dana luaran yang berilmu dan berkemahiran.

"Inisiatif ini juga bertindak sebagai pelengkap kepada pengurusan dana dalaman kami.

"Kami akan terus meningkatkan pendedahan dalam pasaran pelaburan kami, terutamanya dalam pelaburan alternatif dan infrastruktur. Bagaimanapun, peningkatan ini akan dilakukan secara berperingkat dan berhemah berikutan pasaran yang tidak menentu dan pertumbuhan yang lemah," katanya dalam Majlis Anugerah Tahunan Pengurus Portfolio Luaran 2018 di sini, semalam.

Dengan sejumlah 45 peratus aset pelaburan adalah patuh syariah, KWSP dijangka meningkatkan aset berkenaan sebanyak RM25 bilion setahun secara purata bagi memenuhi permintaan ahli.

Samsudin berkata, persaingan untuk mendapatkan aset Islamik yang berkualiti tidak terhad kepada pelabur dalam dunia Islam saja, malah terbuka kepada dana persaraan Barat juga berikutan tarikan aset Islamik sebagai sumber pembiayaan alternatif dan beretika.

"KWSP memerlukan lebih banyak aset Islamik yang berkualiti dan kami mengalu-alukan pengurus dana luaran untuk bersama-sama kami dalam komitmen untuk mengembangkan mandat syariah kami," katanya.

Majlis Anugerah Tahunan Pengurus Portfolio Luaran 2018 menyaksikan 14 anugerah disampaikan kepada pengurus portfolio luaran yang cemerlang.

Objektif anugerah tahunan ini adalah sebagai mengiktiraf pencapaian cemerlang pengurus portfolio luaran dalam mengurus portfolio pelaburan KWSP.

"KWSP meletakkan standard yang tinggi ke atas prestasi dan ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pengurus dana ke atas prestasi mereka yang cemerlang tahun lepas yang telah menyumbang kepada kejayaan KWSP dan seterusnya, kepada kesejahteraan ahli kami," katanya.

1902 dibaca
Berita Harian X