Rabu, 11 April 2018 | 6:19pm
KETUA Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal. - Foto Asyraf Hamzah

Enam konsortium minat bida jadi AssetsCo projek HSR

KUALA LUMPUR: Konsortium dari enam negara sudah menyatakan minat untuk menyertai bidaan aset syarikat (AssetsCo) bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata konsortium itu dijangka menyerahkan tender mereka menjelang tarikh tutup pada Jun ini.

Beliau berkata, pemenang kontrak akan diumumkan pada Disember.

"Setakat ini, ada enam negara berminat untuk menyertai projek HSR. Syarikat ini dari negara Eropah, Jepun, China, Korea, Singapura dan Malaysia yang akan membentuk konsortium.

"Syarikat ini mempunyai skala dalam kerja-kerja sistem dan mempunyai penyelesaian akhir ke akhir," katanya pada sidang media sempena Persidangan Rantaian Bekalan Kebangsaan Mengenai Projek Rel di sini, hari ini.

AssetsCo bertanggungjawab dalam penyediaan kereta api, landasan, sistem isyarat dan komunikasi.

MyHSR baru-baru ini memilih dua konsortium dalam bahagian kerja sivil HSR iaitu konsortium Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB)-Gamuda Bhd yang bertanggungjawab di jajaran utara dan konsortium Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd-TH Properties Sdn Bhd bertanggungjawab di bahagian jajaran selatan.

Sementara itu, persidangan kebangsaan dan pameran kerjaya yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bermula hari ini menarik minat lebih 2,000 peserta industri daripada agensi kerajaan, dewan perniagaan dan kedutaan.

259 dibaca
Berita Harian X