Rabu, 14 March 2018 | 5:57pm
QAISER Iskandar Anwarudin (kiri) dan Arlina Ariff memberi penerangan kepada media untuk menggalakan orang ramai mengakses laporan CCRIS di Bank Negara. - Foto Rosela Ismail

CCRIS bukan laporan senarai hitam

KUALA LUMPUR: Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) bukan laporan senarai hitam, sebaliknya ia menyediakan maklumat positif dan negatif status kewangan peminjam.

Malah, ia juga tidak memberikan apa-apa penilaian terhadap status kredit atau kewangan peminjam.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia, Qaiser Iskandar Anwarudin, berkata CCRIS adalah laporan yang memaparkan rekod pembiayaan dan pembayaran balik peminjam dengan peserta institusi kewangan bagi tempoh 12 bulan.

Beliau berkata, bagi menggalakkan orang ramai mengakses laporan CCRIS, bank pusat itu memperkenalkan eCCRIS pada 19 Januari lalu, yang mana orang ramai boleh mengakses laporan itu secara dalam talian menerusi lawan web eCCRIS, https://eccris.bnm.gov.my.

Katanya, perkhidmatan yang disediakan itu adalah percuma.

"eCCRIS menyediakan instrumen dalam talian supaya pengguna dapat memantau dan mengesahkan kedudukan kredit termasuk rekod pembayaran balik pinjaman mereka.

"Malah, platform dalam talian itu juga membolehkan pengguna berhubung secara langsung dengan institusi kewangan untuk pengesahan dan meminda apa-apa maklumat tidak tepat dalam laporan CCRIS mereka," katanya pada taklimat media mengenai eCCRIS di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah LINK dan Pejabat BNM, Datin Arlina Ariff.

Sejak dilancarkan secara rasmi pada 19 Januari lalu, sebanyak 45,350 sudah mendaftar eCCRIS.

Untuk mendaftar eCCRIS, orang ramai perlu ke pejabat Bank Negara atau cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara untuk membuat pendaftaran kali pertama, yang mana mereka perlu mengesahkan identiti mereka menggunakan MyKad dan mendaftar nombor telefon bimbit mereka yang sah.

Bagi syarikat pula, surat kebenaran dan sijil pendaftaran perniagaan diperlukan untuk wakil yang mendaftar bagi pihak syarikat.

Sebaik mendaftar, PIN enam digit akan dihantar ke nombor telefon bimbit yang didaftarkan dan pengguna dikehendaki memasukkan nombor MyKad dan PIN enam angka untuk mengakses kali pertama laman web eCCRIS, https://eccris.bnm.gov.my.

Pengguna kemudiannya dikehendaki menetapkan ID pengguna dan kata laluan pilihan; memilih imej dan frasa keselamatan peribadi dan menetapkan tiga soalan keselamatan berserta jawapan.

Untuk maklumat lanjut mengenai eCCRIS, orang ramai boleh menghubungi BNM TELELINK di 1300 88 5465.

1049 dibaca
Berita Harian X