Rabu, 14 March 2018 | 4:28pm

Risiko hutang isi rumah di Malaysia rendah

KUALA LUMPUR: Risiko pendedahan hutang isi rumah ke atas kestabilan kewangan domestik adalah rendah, demikian menurut penilaian terkini Jawatankuasa Kestabilan Kewangan (FSC) Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata, keupayaan membayar hutang dalam kalangan isi rumah kekal tidak terjejas, disokong oleh pendapatan lebih tinggi dan pertumbuhan peluang pekerjaan.

Katanya, aset kewangan isi rumah kekal tinggi dan berkembang lebih pantas berbanding hutang setakat akhir Disember 2017.

"Bagi syarikat Malaysia, leveraj agregat meningkat sejajar dengan aktiviti pelaburan, memandangkan hutang berisiko lebih rendah, di tengah-tengah pengukuhan pasaran kewangan dan paras susut nilai yang rendah.

"Tinjauan kredit keseluruhan bagi sektor perniagaan dijangka meningkat berikutan persekitaran ekonomi yang positif, meskipun sektor minyak dan gas serta hartanah masih berdepan keadaan tidak menentu.

"Potensi ketidaktentuan daripada pinjaman luar syarikat Malaysia adalah terhad, dengan pendedahan kebanyakannya sudah dilindung nilai dan merangkumi pinjaman intra-syarikat dengan tempoh matang lebih panjang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pasaran hartanah, BNM berkata, akses kepada pembiayaan rumah, khususnya pembeli rumah mampu milik kali pertama kekal tinggi dengan kadar kelulusan 73 peratus.

"FSC akan terus memantau lebihan bekalan dalam segmen hartanah kediaman mewah bertingkat, ruang pejabat dan kompleks beli belah, dengan bank juga kekal berhati-hati memberikan pinjaman kepada segmen berkenaan.

"FSC bersetuju bahawa pelbagai langkah berhemah sedia ada kekal bersesuaian untuk menguruskan ketidaktentuan daripada kewangan makro," katanya.

Setakat 9 Mac 2018, FSC menilai bahawa kestabilan kewangan domestik terus bertahan dan disokong dengan baik oleh kemantapan institusi kewangan serta pasaran kewangan domestik yang teratur.

Sejak mesyuarat terakhir FSC pada November lalu, kemeruapan pasaran kewangan global semakin meningkat berikutan ketidaktentuan baharu berhubung normalisasi kadar faedah di ekonomi maju, pergerakan harga komoditi serta bertambahnya ketegangan perdagangan.

Perkembangan luaran dijangka menyebabkan kemeruapan lebih tinggi, di tengah-tengah aliran modal dua hala yang berterusan.

Potensi risiko, bagaimanapun akan diserap oleh tinjauan positif ekonomi Malaysia serta kehadiran pelabur institusi domestik yang besar.

"Sektor perbankan, insurans dan takaful Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh permodalan pada paras yang tinggi.

"Kecairan dan pendanaan terus positif, dengan nisbah dana berbanding pinjaman dalam sistem perbankan dan Nisbah Liputan Kecairan masing-masing berada pada 84 peratus dan 132 peratus setakat akhir Januari 2018. Perantara kewangan domestik dijangka kekal menyokong aktiviti ekonomi," katanya.

Menuju ke hadapan, BNM berkata tinjauan kewangan domestik pada tahun ini dijangka kekal tidak terjejas.

"Ujian tekanan kemampuan membayar hutang berbilang tahun yang dibuat oleh BNM mengesahkan lagi keupayaan bank, penyedia insurans dan takaful di Malaysia menyerap tekanan ekonomi makro serta kewangan," katanya.

Dalam masa sama, bank pusat itu berkata FSC kekal berwaspada terhadap risiko daripada ancaman keselamatan siber, skim kewangan haram dan perkembangan amalan pasaran bagi meningkatkan keyakinan orang awam serta memastikan sistem kewangan Malaysia berfungsi dengan lancar.

Bank, katanya akan terus melaksanakan pelbagai langkah bagi mengukuhkan daya tahan terhadap ancaman siber serta meningkatkan pemantauan ke atas akaun yang berpotensi digunakan bagi skim kewangan haram.

299 dibaca
Berita Harian X