Rabu, 14 March 2018 | 3:29pm
MARCOS Canovas Barbe (kiri) dan Jana Barbati Chadova. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Bata bakal lancar koleksi baharu Red Label

KUALA LUMPUR: Pengeluar kasut nombor satu dunia, Bata bakal melancarkan barisan koleksi baharu kasutnya di Malaysia serentak di seluruh dunia, Jumaat ini.

Dikenali sebagai Bata Red Label, koleksi baharu itu adalah rekaan hasil kerjasama di antara Bata dan pengeluar kasut dan aksesori dari Kanada, Aldo Group.

Bata Malaysia bakal membawa masuk 13 jenis koleksi kasut wanita dengan harga di antara RM109 hingga RM159 dan lima jenis kasut lelaki berharga RM169.

Pengurus Jenama Global Bata, Marcos Canovas Barbe, berkata kerjasama yang julung kali diadakan Bata dengan pengeluar kasut lain itu bertujuan memberi nafas baharu yang lebih segar dalam rekaan kasut keluarannya.

Katanya, ini berikutan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, jenama berasal dari Republik Czech itu biarpun masih dianggap baik, namun kelihatan agak tradisional.

"Kerana itu kami mahu beralih dengan berubah menawarkan produk yang kelihatan lebih sohor kini atau 'trending' dan menarik di mata pelanggan.

"Sebelum ini, kami sudah membawa masuk barisan koleksi 'Made in Italy' ke Malaysia tahun lalu yang menawarkan lebih keselesaan di samping rekaan yang bergaya dan menarik.

"Sehubungan itu, kami yakin koleksi Bata Red Label ini mampu menarik minat pelanggan kami di Malaysia dan seluruh dunia apabila dilancarkan pada tengah bulan ini," katanya ketika ditemui NSTP di kedai Bata di pusat beli belah Midvalley di sini, baru-baru ini.

Barbe hadir bersama Ketua Pemasaran Global Bata, Jana Barbati Chadova dalam rangka lawatan kerja di Malaysia bagi meninjau perkembangan terkini dan melihat pelaksanaan konsep baharu jenama itu di sini.

Mengulas lanjut mengenai Bata Red Label, Barbe berkata, pasukannya bekerja rapat dengan Aldo bagi mereka dan menghasilkan produk berkualiti berdasarkan trend terkini dari seluruh dunia.

"Kerjasama ini terjalin dengan kedua-dua syarikat percaya masih ada ruang dalam pasaran di antara segmen pasaran tradisional kedua-duanya," katanya.

Sementara itu, Chadova berkata, Bata sentiasa berusaha menambahbaik pengeluaran produknya dengan masih mahu keselesaan dan kualiti menjadi keutamaan namun pada masa sama memastikan kasutnya kekal bergaya.

Katanya, Bata Red Label menepati kesemua ciri itu kerana ia adalah mengenai trendy, bergaya dan keselesaan.

"Ia juga bagi menarik golongan muda yang sebelum ini lebih mengaitkan jenama ini dengan kasut sekolah untuk kembali menggunakan produk ini.

"Selepas 16 Mac ini, apabila pelanggan ke kedai kami, mereka akan mendapati Bata sebenarnya menawarkan pelbagai produk yang menarik dan bergaya terutama daripada barisan Red Label," katanya.

Bata mula memasuki pasaran Malaysia pada tahun 1935 dan sehingga kini mempunyai lebih 240 rangkaian kedai di seluruh negara.

335 dibaca
Berita Harian X