Selasa, 13 March 2018 | 12:54pm
SARIAH ketika hadir penganjuran ICW 2018 Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

ICW 2018 unjur jualan RM100 juta

KUALA LUMPUR: Edisi ke-18 Minggu Pembinaan Antarabangsa 2018 (ICW 2018) dijangka menjana jualan sekitar RM100 juta, lonjakan besar berbanding RM16 juta yang dicatat pada edisi tahun lalu.

Pengurus Besar Kanan Sektor Dasar dan Korporat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia), Sariah Abd Karib, berkata ia berikutan peningkatan ketara dalam jumlah syarikat yang mengambil bahagian pada ICW 2018 termasuk yang menyertai padanan perniagaan.

"ICW 2017 menyaksikan pembabitan hanya lapan syarikat dari dua negara dalam padanan perniagaan, berbanding 26 syarikat dari 14 negara pada ICW 2018.

"Ini peningkatan tujuh kali (negara yang mengambil bahagian) dan pada anggaran kasar setiap negara meraih jualan sekitar RM10 juta, kita sasar jualan keseluruhan yang bakal diraih pada ICW 2018 ialah antara RM70 juta hingga RM100 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung penganjuran ICW 2018 di sini, hari ini.

ICW 2018 akan diadakan pada 26 hingga 30 Mac 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sariah berkata, ICW 2018 anjuran CIDB Malaysia itu dijangka mengumpulkan lebih 100 pempamer dan lebih 10,000 pengunjung.

Acara utama pada ICW 2018 bertemakan Mencapai Kemuncak Produktiviti itu ialah Persidangan Transformasi Pembinaan Antarabangsa (ICTC) yang akan diadakan buat pertama kalinya pada 26 dan 27 Mac.

ICTC akan mengumpulkan pakar bertaraf dunia dan peneraju industri dari Malaysia dan serantau untuk membincangkan impak teknologi dan inovasi dalam meningkatkan produktiviti.

Penceramah pada ICTC termasuk Rajat Argawal dari McKinsey Capital Productivity Southeast Asia; Zhang Yue dari BROAD Group China; dan Richard Kuppusamy dari Lendlease Asia.

Sebagai tambahan, ICTC turut menampilkan Konvensyen Usahanita Binaan (KUBINA2018), yang mengetengahkan profesional wanita utama dalam industri pembinaan.

Sementara itu, Ecobuild SEA 2018 yang adalah acara utama dalam kelestarian pembinaan, sekali lagi diadakan pada ICW 2018.

Acara yang berlangsung pada 27 hingga 29 Mac itu adalah kali ke lima Ecobuild SEA dianjurkan sebagai komponen pameran ICW.

233 dibaca
Berita Harian X