Isnin, 12 March 2018 | 9:56pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Syarikat Malaysia perlu terus teroka potensi Filipina

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia perlu terus meneroka usaha sama di Filipina, terutama dalam sektor seperti bahan binaan, perabot dan minyak sawit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pasaran Filipina sangat reseptif terhadap barangan dan perkhidmatan Malaysia, malah hubungan dagangan dua hala antara kedua-dua negara berkembang 26 peratus kepada AS$5.9 bilion pada 2017.

Sambil menekankan perlunya momentum pertumbuhan perdagangan ini dikekalkan, beliau berkata pentadbiran Filipina kini memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur sebagai pemangkin untuk pertumbuhan ekonomi seterusnya.

"Ia sudah membentangkan progam pembangunan infrastruktur enam tahun 'Bina, Bina, Bina' bernilai AS$180 bilion yang dijangkakan mengubah landskap, katanya sempena Program Promosi Malaysia (MPP) di Manila.

Mustapa berkata syarikat Malaysia mempunyai kehadiran kukuh di Filipina, termasuk Maybank, Alloy-MTD, Metro Parking, dan Zico Law, manakala syarikat Filipina seperti Petron berkembang maju di Malaysia.

"Susulan kemasukannya ke Malaysia pada 2011, Petron melabur AS$1.5 bilion dan kini mengurus 600 stesen petrol, meraih keuntungan bersih kira-kira AS$100 juta pada 2017, angka tertinggi sejak Petron memulakan operasi di pasaran Malaysia," katanya.

Anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, MPP, yang berakhir pada 18 Mac ini, menarik 200 perwakilan dalam kalangan komuniti perniagaan Filipina dan 30 syarikat Malaysia.

"Filipina kekal sebagai rakan ekonomi yang penting bagi kita, dan usaha sama yang lebih kukuh akan meningkatkan penyepaduan ekonomi ASEAN, selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang saksama di rantau ini.

"Pertumbuhan ekonomi yang kukuh di ASEAN akan memberi manfaat kepada Malaysia, memandangkan 29 peratus eksport negara membabitkan rantau ini," kata Mustapa.

-BERNAMA

250 dibaca
Berita Harian X