Isnin, 12 March 2018 | 4:11pm
KETUA Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad membaca ikrar pada program Ikrar Bebas Rasuah PUNB, di Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad

PUNB sasar bantu pengusaha bengkel Bumiputera

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) akan menggerakkan pasukan ke setiap negeri bagi mengadakan lawatan ke bengkel kenderaan kecil usahawan Bumiputera.

Usaha itu adalah disebabkan ia masih belum menerima permohonan pembiayaan daripada sektor yang kurang diteroka secara meluas oleh usahawan Bumiputera termasuk automotif dan perkakasan, setakat tahun ini.

"Seperti dalam sektor automotif, daripada 35,000 bengkel di seluruh negara, hanya 10 peratus atau 3,500 sahaja milik Bumiputera. Jumlah ini perlu ditingkatkan dan kita sudah meminta Pengurus PUNB negeri mengadakan lawatan ke bengkel kecil Bumiputera seluruh kawasan.

"Sebab itu kita mahu mengutip data berpandukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi mengetahui jumlah bengkel milik Bumiputera di situ. Jika tiada langsung atau hanya ada dua, tiga bengkel, ia patut ditambah lagi.

"Kita juga sudah meminta pegawai kita mengkaji demografi dan jumlah penduduk di dalam sesebuah DUN bagi mengetahui jumlah sesuai untuk bengkel kereta boleh diwujudkan di situ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani dan bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) PUNB, di pejabatnya di sini, hari ini.

PUNB sudah menyalurkan RM48 juta pembiayaan kepada 352 usahawan Bumiputera dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu adalah 24 peratus daripada peruntukan RM200 juta yang disediakan PUNB kepada usahawan Bumiputera pada tahun ini.

Tahun lalu, PUNB meluluskan peruntukan pembiayaan sebanyak RM281 juta.

Pada majlis hari ini, seramai 500 kakitangan PUNB dari seluruh negara terbabit dalam bacaan ikrar yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPMR), Datuk Ja'afar Mahad.

Bacaan lafaz ikrar itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad.

IBR itu adalah kesinambungan daripada Ikrar Integriti Korporat PUNB yang sudah ditandatangani pada 12 Mac 2014.

Dalam pada itu, Azhar berkata, sejak memperkenalkan kaedah 'hunters farmers' pada tahun lalu, jumlah permohonan diterima PUNB untuk mendapatkan kelulusan meningkat.

"Sebelum ini, pada setiap minggu biasanya kita proses dua, tiga permohonan, kini kita proses lebih 20 permohonan.

"Menerusi kaedah ini, kakitangan dan pegawai PUNB sendiri keluar mengedarkan pamplet berserta kad nama mereka kepada usahawan yang mana berjaya memperkenalkan agensi ini kepada lebih ramai orang.

"Daripada yang tidak kenal PUNB kini sudah kenal, malah boleh mengetahui perbezaan di antara kita dengan agensi lain," katanya.

300 dibaca
Berita Harian X