Jumaat, 9 March 2018 | 4:17pm
PROF Emeritus Dorodjatun Kuntjoro-Jakti. - Foto BERNAMA

Malaysia, Indonesia berpotensi raih manfaat kluster perindustrian

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia mempunyai peluang besar meraih manfaat pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara menerusi penubuhan kluster perindustrian.

Langkah menubuhkan kluster perindustrian itu dijangka akan memperkukuhkan lagi hubungan ekonomi kedua-dua negara, demikian menurut Mantan Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Prof Emeritus Dorodjatun Kuntjoro-Jakti.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal ekonomi Indonesia dan dunia itu berpandangan, di samping kerjasama dalam sektor berkaitan sawit, sektor perkilangan juga menawarkan peluang pertumbuhan yang besar untuk ditembusi Malaysia dan Indonesia.

Ketika ini, beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya penyertaan pelabur asing membabitkan sektor perkilangan di Indonesia sebahagian besarnya terdiri mereka dari Jepun, China, Korea Selatan dan Taiwan.

Baginya, pelabur Malaysia boleh memperluaskan kehadiran mereka di ekonomi terbesar Asia Tenggara itu melangkaui sektor perladangan, dengan menembusi sektor perkilangan seperti pengeluaran olein dan oleokimia.

"Apa yang menarik bagi pelabur Malaysia, kita boleh bersetuju untuk membangunkan kluster perindustrian dengan kemungkinan saiz yang hampir sama dengan zon ekonomi khusus di China.

"Dengan kluster itu, kita ada kawasan yang luas yang mana bukan saja usaha perniagaan kepada perniagaan Malaysia-Indonesia dalam membangunkan industri perkilangan bagi pengeluaran produk yang diperlukan di dunia, tetapi juga di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar Forum Hubungan Antarabangsa Institut Pengajian Antarabangsa dan Strategik Malaysia (ISIS) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan syarahan bertajuk "Perkiraan Masa Depan Hubungan Ekonomi Malaysia-Indonesia".

Menyentuh mengenai perkembangan ekonomi Malaysia, Dorodjatun berkata, Malaysia berada pada landasan kukuh untuk keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan dengan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berpendapat, Malaysia mampu keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan itu dalam lima hingga enam tahun akan datang.

Malah, katanya, Malaysia juga berada dalam kedudukan yang selesa dari segi pelaksanaan gabungan dasar fiskal dan monetari yang baik dalam berdepan cabaran ekonomi.

"Anda (Malaysia) mungkin setanding Korea Selatan dari segi kemampuan untuk berdepan peristiwa seperti krisis kewangan global sekali lagi," katanya.

195 dibaca
Berita Harian X