Rabu, 14 Februari 2018 | 2:54pm
EKONOMI Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan berkembang 5.9 peratus pada suku keempat 2017. - Foto fail NSTP

Ekonomi Malaysia berkembang 5.9 peratus 2017

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan berkembang 5.9 peratus pada suku keempat 2017.

Permintaan sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan sokongan berterusan daripada sektor luaran, kata Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Semua sektor ekonomi terus berkembang kecuali sektor perlombongan.

Bagi keseluruhan 2017, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus, lebih tinggi berbanding 4.2 peratus dicatatkan pada 2016.

Inflasi menyederhana kepada 3.5 peratus pada suku keempat tahun lalu berbanding 3.6 peratus pada suku ketiga 2017 berikutan inflasi yang rendah dalam perumahan, air, elektrik dan gas serta pengangkutan.

Bagi keseluruhan 2017, purata inflasi ialah 3.7 peratus berbanding 2.1 peratus pada 2016.

Bank Negara berkata, pasaran kewangan domestik terus mencatatkan ketidaktentuan yang rendah secara keseluruhannya di tengah-tengah kemajuan dalam sentimen pasaran.

Institusi kewangan domestik mengekalkan kualiti aset dan keuntungan yang kukuh.

Keadaan kredit dalam sistem perbankan domestik kekal kondusif bagi aktiviti ekonomi benar dengan peminjam yang layak terus mengakses pembiayaan.

Melangkah ke hadapan, Bank Negara berkata, ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh pada 2018 dengan terus disokong permintaan domestik.

Bank pusat berkata, jangkaan pengembangan pertumbuhan yang pantas akan terus memanfaatkan eksport Malaysia dengan limpahan positif kepada aktiviti ekonomi domestik.

Kadar inflasi dijangka menyederhana pada tahun ini, mencerminkan sumbangan yang kecil daripada faktor kos global dan pengukuhan ringgit berbanding 2017.

"Tekanan daripada keadaan permintaan kukuh akan dikekang oleh kapasiti dalam pasaran buruh dan pelaburan berterusan untuk pengembangan kapasiti.

"Trajektori bagi inflasi, bagaimanapun, akan kekal bergantung kepada arah aliran harga minyak global, yang mana kekal tidak menentu," katanya.

294 dibaca
Berita Harian X