Jumaat, 12 Januari 2018 | 8:17pm

FELDA kemuka petisyen bantahan kepada EU

KUALA LUMPUR: FELDA akan menghantar kira-kira 100,000 tandatangan peneroka kepada Pejabat Delegasi Kesatuan Eropah (EU) di sini, Selasa ini sebagai bantahan terhadap cadangan blok itu menyekat kemasukan minyak sawit ke pasarannya.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata setakat ini, FELDA berjaya mengumpul 65,000 tandatangan dan yakin dapat mencapai sasaran 100,000 menjelang Selasa depan.

"Bantahan akan dibuat di Pejabat Delegasi EU dan juga 26 kedutaan negara anggota EU, menjadikan kesemua 27. Kita akan menghantar petisyen berkenaan secara serentak (pada 2.30 petang) dan dipimpin oleh ketua-ketua peneroka," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, peneroka FELDA dan pekebun kecil perlu bersama-sama menyuarakan​​​​​​ bantahan terhadap cadangan yang ibuat Parlimen EU bagi menyekat pengimportan minyak biodiesel sawit.

Ini kerana tindakan EU akan menjejaskan pendapatan golongan peneroka dan pekebun kecil, katanya.

Pada April 2017, Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.

Mengulas mengenai isu ini, Shahrir berkata, dakwaan mengatakan penanaman sawit Malaysia tidak lestari adalah satu tuduhan yang tidak berasas.

Beliau berkata, ini kerana penanaman komoditi tersebut di Malaysia telah merangkumi aspek kelestarian termasuk dari segi ekonomi serta alam sekitar kawasan penanaman kelapa sawit.

"Antara Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) EU adalah keupayaan untuk mengeluarkan rakyat luar bandar daripada kemiskinan dengan cara pertanian.

"Oleh itu dengan penyekatan kelapa sawit ke benua berkenaan, (tindakan) Eropah telah dilihat bertentangan dengan SDG-nya sendiri," katanya.

Shahrir berkata, Felda amat mengambil berat mengenai kelestarian produk mereka.

Sebelum ini dilaporkan Felda akan memastikan 120,000 penerokanya mematuhi Skim Pensijilan Mampan Malaysia (MSPO) yang akan diwajibkan kerajaan berkuat kuasa 31 Disember 2019.

Sistem berkenaan dilihat dapat memastikan kualiti minyak sawit yang dikeluarkan Malaysia tidak diubah atau disekat melalui sekatan atau halangan dari negara yang cuba memboikot minyak sawit terutama EU.

Pada 2018, Felda turut mensasarkan untuk mengesahkan pensijilan bagi lapan kompleks kilang dan lebih 30 buah kompleks kilang diaudit oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan MSPO.

Sementara itu, Shahrir berkata pada 2017, FELDA telah mengagihkan lebih kurang RM558.14 juta kepada peneroka FELDA.

Jumlah itu termasuk pembayaran insentif sebanyak RM5,000 kepada lebih kurang 90,418 peneroka.

Insentif berkenaan antara enam insentif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 23 Julai 2017.

Antara insentif lain adalah dalam bentuk pelupusan hutang, penubuhan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

"Pembayaran insentif ini sudah bermula di wilayah Johor Bahru dan wilayah Segamat," katanya. - BERNAMA

335 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »