Khamis, 11 Januari 2018 | 9:01am

Tumpu hak, kebajikan kanak-kanak, remaja

Kuala Lumpur: Dua wanita ini bukan calang-calang orang tetapi memiliki hati yang luhur kerana aktif dengan aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Minat yang mendalam dan bersemangat tinggi, membuatkan Chin Poh Choo dan Fauziah Mahfudz sentiasa melakukan tanggungjawab sosial dengan penuh profesional.

Bagi mereka, masyarakat setempat mempunyai kepentingan dan tanggung jawab yang sama untuk memastikan kesejahteraan kanak-kanak dan remaja yang berada di sekeliling mereka.

Menyedari tanggungjawab itu, Poh Choo yang sebelum ini terbabit dalam sektor pendidikan swasta dengan pengalaman selama 17 tahun bersama Taylor's Education Group dalam jurusan pentadbiran dan pengurusan projek membabitkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Cegah keganasan seksual

Beliau kini adalah Pengarah Eksekutif Good Shephered Services (GSS) yang bertanggung jawab secara menyeluruh untuk mengesyorkan pentadbiran dan operasi GSS berjalan dengan lancar dan selaras dengan misi, visi serta Plan Strategik.

Bersama GSS, satu projek pencegahan keganasan seksual bersama Yayasan Hasanah (Hasanah) dilaksanakan.

"Projek ini berkait dengan perlindungan dan pemerkasaan kanak-kanak perempuan terhadap keganasan seksual yang berasaskan gender di daerah Tambunan, Sabah.

"Ia membabitkan penyertaan enam kampung, dua sekolah menengah dan dua sekolah rendah.

"Matlamatnya adalah meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat setempat mengenai isu yang boleh mengancam keselamatan kanak-kanak," katanya.

Beliau berharap projek itu dapat mewujudkan satu model pendekatan pembangunan komuniti yang efektif, menyeluruh dan mapan untuk memantapkan perlindungan kanak-kanak terhadap keganasan seksual.

"Azam saya bagi 2018 pula ingin memperkukuhkan lagi kerjasama dengan komuniti setempat, NGO lain dan agensi kerajaan serta meningkatkan advokasi untuk keselamatan dan perlindungan kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, aktiviti kemasyarakatan dan sukarela sudah sebati dalam jiwa Fauziah.

Lakukan amal kebajikan

Sejak tahun 2009, beliau menjadi pekerja sosial di OrphanCARE sebagai sukarelawan dan selepas itu dipilih sebagai salah seorang ahli jawatankuasa bahagian ibu bapa angkat.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada University of New South Wales; Sydney dan Sarjana (Kaunseling dan Pendidikan Kaunselor) daripada Indiana University, Bloomington.

"OrphanCARE memberi nafas baru dalam bidang kemanusiaan. Saya dapat menggunakan kelulusan yang saya miliki dengan lebih mendalam, sambil membuat amal jariah dengan membantu kanak kanak dan anak yatim. Saya ingat lagi selepas terbaca di akhbar tentang pelancaran OrphanCARE dan projek Baby Hatch, saya seperti terpanggil menyertainya.

"Setiap keluarga angkat perlu mengikut SOPP yang kami sediakan, preadoption home inspection dan juga bonding visits dengan bakal anak angkat dan selepas itu lawatan ke rumah keluarga angkat selama setahun," katanya.

Katanya, walaupun kanak kanak daripada institusi kebajikan mempunyai ibu bapa dan waris, mereka tidak pernah di lawat atau diambil pedulikan selama bertahun tahun.

88 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »