Khamis, 11 Januari 2018 | 9:00am

Usaha pulihara kuih warisan tradisional, elak pupus


Antara persediaan membuat kuih tradisional.

KUALA LUMPUR: Sajian minum petang tatkala menghirup teh tarik panas seakan pincang tanpa hidangan pelbagai kuih tradisional yang menjadi antara identiti rencam masyarakat di Malaysia.

Dihasilkan dalam pelbagai aroma dan bentuk, ramai tidak menyedari bukan saja flora serta fauna, malah kuih tradisional mutakhir ini semakin diancam kepupusan berikutan beberapa faktor.

Bahan mentah sukar didapati, kehilangan petua memasak, tidak dipraktikkan dan proses penyediaan yang renyah dikenal pasti antara punca kuih tradisional ini berdepan risiko lenyap ditelan zaman.


Nagasari ubi

Dokumentasi melalui KWIH

Jenis kuih dimaksudkan adalah bunga pudak, halwa maskad, tepung buluh, kacau keledek, serak jagung, karipap kubis dan tepung kulit yang sudah tidak pernah didengari dalam kalangan generasi muda.

Menyedari hakikat itu, Friedchillies Media Sdn Bhd yang dianggotai sekumpulan tenaga kerja berusia antara 28 hingga 50 tahun menyimpan hasrat mengembara ke pelosok negara untuk mendokumentasikan sajian generasi terdahulu menerusi projek Kuih Warisan Ihsan Haridepan (KWIH).


Kuih tepung kulit

Pengasas bersama Friedchillies Media Sdn Bhd, Honey Ahmad, berkata pihaknya memperoleh dana daripada Yayasan Hasanah (Hasanah), sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional (Khazanah). Projek menerusi program Seni, Warisan dan Budaya (AHC) Hasanah ini menjalankan kajian, melaksana usaha pemeliharaan, memperkenalkan penggiat perusahaan serta melakukan pemetaan kuih tradisional.

"Fasa pertama projek KWIH adalah di Pantai Barat, justeru kami menjelajah ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, sejak Julai lalu untuk mencari pembuat kuih tradisional.

"Projek ini bertujuan mengekalkan resipi lama kuih tradisional, sama ada yang hampir pupus atau jarang dibuat dalam kalangan masyarakat masa kini.


Kuih putugal

Kekalkan resipi asli

"Matlamat utama projek KWIH adalah mengekalkan kesempurnaan resipi asli dan petua kuih tradisional kita kerana khazanah ini bukan sepatutnya disimpan, tetapi diajar kepada komuniti di Malaysia untuk generasi akan datang," katanya.

Honey berkata, lebih 80 jenis kuih ditemui pasukan penyelidik dengan menjelajah ceruk kampung bagi menjejaki suri rumah, pengusaha komersial dan generasi tua yang masih menghasilkan sajian berkenaan.

Anak jati Ipoh, Perak ini turut berkongsi pelbagai cabaran ditempuhinya dan rakan setugas, termasuk keengganan pengusaha berkongsi resipi turun-temurun kerana bimbang 'periuk nasi' mereka yang selama ini menjana pendapatan sekeluarga mungkin terjejas.


Kuih putugal

"Bagaimanapun, sebahagian mereka terbuka hati berkongsi petua dan resipi apabila kami memaklumkan matlamat di sebalik projek KWIH iaitu mempromosikan kuih tradisional di pasaran tempatan, selain meningkatkan tarikannya dalam kalangan pelancong asing.

"Selain itu, kita menyasarkan peningkatan sosioekonomi pengusaha kuih tradisional yang kebanyakannya dalam kategori golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) apabila wujud lonjakan permintaan di pasaran.

"Usaha ini diyakini berupaya dijayakan menerusi penyediaan pangkalan data pengusaha kuih tradisional supaya maklumat mengenai lokasi perniagaan mereka mudah dicari secara dalam talian," katanya.


Wadai kipeng

Papar di akaun YouTube

Menyentuh kandungan buku resipi, Honey berkata, proses penyediaan kuih tradisional akan diterjemahkan seringkas mungkin supaya mudah difahami dan digunakan, selain dicuba sendiri oleh cef serta pakar masakan di Friedchillies.

Katanya, penghasilan video mengenai cara membuat kuih dan petua turut akan diletakkan di akaun YouTube Friedchillies untuk kegunaan generasi muda yang lazimnya cenderung menggunakan gajet ketika proses memasak.

"Hampir enam bulan menjalankan projek KWIH, ia antara lain menyuntik kesedaran mengenai kelainan resipi kuih tradisional yang ada di pasaran ketika ini, berbanding zaman dulu susulan beberapa faktor, khususnya kesukaran memperoleh bahan mentah.

"Walaupun kita masih peringkat permulaan, projek KWIH berupaya mengetengahkan beberapa pembuat kuih warisan seperti apam johol menerusi peningkatan jualan, sekali gus menjana pendapatan berganda pengusaha berkenaan.


Halwa maskad

"Perancangan masa depan Friedchillies adalah mengadakan pesta kuih tradisional bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai keunikan sajian turun-temurun, selain memperluaskan projek KWIH ke Pantai Timur dan Borneo.

"Industri penghasilan kuih tradisional ini mempunyai potensi besar kerana berupaya menarik minat pelancong asing yang sering berkunjung ke kawasan kampung dan pedalaman untuk menerokai kepelbagaian makanan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya.

INFO:FriedChillies Media Sdn Bhd

  • Syarikat media yang ditubuhkan pada 1997, mengkhususkan penerbitan makanan, merangkumi media digital, produksi rancangan TV dan penganjuran pesta bertemakan makanan.

1920 dibaca
Berita Harian X