Rabu, 11 Oktober 2017 | 10:57am
Seorang lelaki berjalan melepasi papan tanda Kobe Steel di ibu pejabat Tokyo di Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS

Skandal keluli Jepun makin parah

TOKYO: Enam pengeluar automotif terkemuka Jepun termasuk Nissan dan Honda menggunakan produk daripada Kobe Steel, demikian menurut laporan selepas Kobe Steel mengaku memalsukan data kualiti produk keluli keluarannya.

Akhbar Nikkei berkata, Mitsubishi Motors, Subaru dan Mazda juga menggunakan produk Kobe Steel dalam kenderaan yang dikeluarkan.

Gergasi automotif Toyota sebelum ini berkata, Kobe Steel membekal bahan kepada satu daripada kilangnya di Jepun, yang digunakan bagi membuat bumbung, pintu belakang dan bahagian luaran kenderaan lain.

Menurut Nikkei, menteri pengangkutan meminta syarikat automotif menjalankan semakan segera bagi memastikan sama ada kenderaan terbabit perlu dipanggil balik.

Skandal Kobe Steel tercetus Ahad lalu apabila pengeluar produk keluli itu mengaku memalsukan data berhubung pengukuhan dan kualiti produk.

Siasatan dalaman mendedahkan data dipalsukan membabitkan kira-kira 19,300 tan produk aluminium, 2,200 tan produk tembaga dan 19,400 unit acuan aluminium yang dihantar kepada pelanggan antara September 2016 hingga Ogos 2017.

Kobe Steel berkata, pemalsuan itu yang bermula sedekad lalu, berkemungkinan memberi impak kepada 200 syarikat dalam pelbagai industri.

Saham Kobe Steel menjunam 22 peratus semalam untuk ditutup pada 1,068 yen (AS$9.50).

Pada pembukaan pagi ini, saham Kobe Steel menjunam 17 peratus. - AFP

6033 dibaca
Berita Harian X