Isnin, 9 Oktober 2017 | 5:24pm
PESURUHJAYA Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell pada sidang media Misi Teknologi Mega UK 2017 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Syarikat teknologi Britain minat melabur di Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi perhatian pelabur asing dalam sektor teknologi, apabila lebih 40 firma Britain menyertai delegasi Misi Teknologi Mega United Kingdom (UK) 2017 bagi memperluaskan capaian perniagaan selain meneroka kerjasama teknologi baharu dengan syarikat tempatan.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell, berkata misi dagangan terbesar yang pernah disertai oleh firma Britain ke Malaysia itu bakal mengukuhkan lagi pelaburan langsung dari negara berkenaan ke Malaysia dalam sektor teknologi, yang pada tahun lalu meningkat 54 peratus untuk mencecah RM270 juta.

"Bagi tempoh dua hingga tiga hari ini, kita akan menyaksikan lebih banyak pelaburan langsung syarikat Britain ke negara ini dalam sektor teknologi.

"Justeru, pelaburan langsung syarikat Britain ke Malaysia dijangka sekurang-kurangnya menyamai pertumbuhan pada tahun lalu atau lebih kukuh daripada itu," katanya pada sidang media Misi Teknologi Mega UK 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir ialah Penasihat Teknologi Negara UK, Liam Maxwell dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood.

Pelaburan langsung dari UK ke Malaysia dalam sektor teknologi mencatatkan peningkatan ketara selepas kedua-dua negara pada tahun lalu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan kerjasama digital.

Treadell berkata, kehadiran lebih 40 syarikat teknologi dari UK ke Malaysia pada misi dagangan teknologi tahun ini berbanding hanya kira-kira 12 syarikat sebelum ini, yang terbesar pernah dicatatkan, sekaligus membuktikan meningkatnya minat dalam kalangan syarikat kedua-dua negara bekerjasama dalam sektor teknologi.

Katanya, misi dagangan selama tiga hari itu dijangka menyaksikan kira-kira 1,000 pertemuan perniagaan ke perniagaan (B2B) diatur merangkumi bidang kerjasama teknologi di Lembah Klang dan Johor.

"Kerjasama dalam sektor teknologi contoh terbaik bagaimana kita boleh mengukuhkan hubungan ke hadapan dalam era digital," katanya.

Dua kerjasama strategik dimeterai di antara syarikat kedua-dua negara bersempena misi kali ini, yang dijangka bakal menyediakan penyelesaian digital kepada pasaran Malaysia dan global.

Kerjasama pertama adalah antara Action Starter (UK) dan CXS Analytics (Malaysia) untuk menggabungkan platform kedua-dua syarikat bagi menyampaikan penyelesaian digital, memudah cara pencari pekerjaan dan pembuat dasar dalam isu pekerjaan, latihan serta pembangunan.

Ia diikuti kerjasama kedua dibentuk antara Kino-mo (UK) dan People n Rich Holdings (Malaysia) bagi mengedarkan Hypervsn di Malaysia. Hypervsn ialah penyelesaian perancangan media bagi isi kandungan 3D.

306 dibaca
Berita Harian X