Ahad, 10 September 2017 | 5:15pm
PENGARAH Unit China Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ong Yew Chee ketika ditemui media sempena Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2017 ke-14 di Nanning, China, hari ini.

Malaysia-China lonjak dagangan dua hala

NANNING, China: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yakin sasaran jualan sebanyak RM350 juta pada pada Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2017 mampu dicapai.

Pengarah Unit China MATRADE, Ong Yew Chee, berkata keyakinan itu berdasarkan jumlah dagangan antara Malaysia dan China yang berkembang sehingga 28 peratus kepada RM163.02 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai berbanding RM127.62 bilion tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, hubungan dua hala yang baik serta kukuh antara kerajaan Malaysia dan China juga turut berperanan dalam memudahkan urusan perdagangan antara kedua-dua negara.

"Tahun lalu jualan yang dijana daripada CAEXPO 2016 berjumlah RM329.6 juta, naik 54 peratus berbanding RM214 juta pada 2015. Tahun ini kita sasar RM350 juta.

"Kita yakin pasaran yang lebih luas berdasarkan statistik perdagangan antara Malaysia dan China pada 2016 dan 2015 yang hanya naik 4.4 peratus tetapi bagi tempoh separuh pertama tahun ini ia meningkat mendadak sehingga 28 peratus dengan eksport berkembang lebih 41 peratus," katanya selepas meninjau persiapan akhir sempena CAEXPO 2017 di sini, hari ini.

MATRADE mengetuai 171 delegasi syarikat Malaysia yang mengisi 179 ruang pameran di CAEXPO 2017 di Nanning International Convention and Exhibition Centre, Wilayah Guangxi, China bermula esok hingga Jumaat ini.

Dianjurkan setiap tahun bermula 2004 di Nanning, CAEXPO kali ke-14 itu ialah platform strategik dalam usaha meneroka pasaran China dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan membabitkan usahawan daripada 10 negara ASEAN dan China.

Syarikat Malaysia yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana akan mempamerkan produk dan perkhidmatan buatan Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, gaya hidup, farmaseutikal dan perkhidmatan.

Yew Chee berkata, kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan syarikat Malaysia yang menyertai CAEXPO tahun ini ialah penyertaan kali pertama.

"Sama seperti tahun lalu, Malaysia mengambil ruang pameran lebih besar dalam kalangan negara ASEAN lain, iaitu 3,240 meter persegi yang menempatkan 179 ruang pameran di Pavilion Malaysia," katanya sambil menambah Labuan dipilih sebagai 'City of Charm' tahun ini.

Pavilion Malaysia dijadual dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan pada petang esok.

130 dibaca
Berita Harian X