Khamis, 7 September 2017 | 2:01pm

Bursa tinggi pada akhir dagangan pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada akhir dagangan pagi mengambil petunjuk daripada prestasi bursa serantau yang lebih baik, susulan kedudukan kukuh semalaman di Wall Street, selain perkembangan positif politik Amerika Syarikat, kata peniaga.

Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.37 mata kepada 1,773.85, selepas bergerak antara 1,772.57 dan 1,776.88 di sepanjang dagangan pagi.

Ia dibuka 2.58 mata lebih tinggi pada 1,775.06 berbanding 1,772.48 pada penutupan Rabu.

Kedudukan pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 431 berbanding 309, manakala 341 kaunter tidak berubah, 753 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.37 bilion saham bernilai RM967.26 juta.

Seorang peniaga berkata, pasaran Asia tinggi secara menyeluruh selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan pemimpin kongres bersetuju menaikkan had hutang kerajaan sehingga Disember, yang mengelak risiko penutupan pejabat kerajaan.

Dalam negara, Bursa Malaysia kekal dalam sentimen positif hasil daripada data ekonomi yang lebih baik dengan data imbangan perdagangan Malaysia secara keseluruhannya melepasi jangkaan bagi keseluruhan 2017, yang terus mendorong keyakinan ke atas pertumbuhan keluaran dalam negara kasar, katanya.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia dijangka mengumumkan pelarasan kadar faedah lewat hari ini.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun meningkat 0.14 peratus kepada 19,385.85, Hang Seng Hong Kong meningkat 0.11 peratus kepada 27,645.26, Kospi Korea Selatan menokok 1.09 peratus kepada 2,345.03, manakala Indeks Straits Times Singapura menambah 0.61 peratus kepada 3,233.08.

Antara saham wajaran tinggi, Tenaga untung 10 sen kepada RM14.50, Sime Darby menambah empat sen kepada RM9.11, CIMB Group menokok dua sen kepada RM6.77, Public Bank susut dua sen kepada RM20.58, manakala Maybank kekal dengan RM9.47.

Bagi kaunter aktif, Olympia Industries meningkat 1.5 sen kepada 16 sen, MLabs menokok satu sen kepada 18 sen, Sino Hua-An susut 1.5 sen kepada 18 sen manakala Trive Property warrant turun setengah sen kepada 3.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 25.21 mata kepada 12,639.47, Indeks FBMT 100 menambah 21.45 mata kepada 12,308.77, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 41.35 mata kepada 12,845.03, FBM 70 menokok 71.48 mata kepada 15,177.38, manakala FBM Ace menambah 32.25 mata kepada 6,618.98.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 12.10 mata kepada 7,861.98, Indeks Perusahaan menambah 2.86 mata kepada 3,200.16, manakala Indeks Kewangan meningkat 14.27 mata kepada 16,647.08. - BERNAMA

93 dibaca
Berita Harian X