Khamis, 10 Ogos 2017 | 8:01pm

100,000 orang dijangka kunjungi HALFEST ASEAN 2017

KUALA LUMPUR: Seramai 100,000 orang dijangka mengunjungi Halal Fiesta ASEAN (HALFEST ASEAN 2017) yang adalah ekspo halal terbesar ASEAN pada 23 hingga 27 Ogos ini.

Ekspo anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), akan diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa MINES (MIECC), dekat sini.

Sejumlah 6,000 produk dan 550 ruang pameran membabitkan pelbagai perkhidmatan inovatif halal dan berkualiti akan diketengahkan pada acara selama lima hari itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak pengurus acara itu, Shapers Malaysia berkata, HALFEST ASEAN 2017 juga membabitkan penganjuran program khusus perdagangan dan kepenggunaan halal untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat di Malaysia serta di rantau ASEAN.

Ini termasuk Klinik Halal Malaysia untuk usahawan tempatan mempelajari serta mengukuhkan pensijilan halal bagi mempertingkatkan kedudukan dan pemasaran produk serta perkhidmatan mereka.

"Tujuan utama HALFEST ASEAN adalah sebagai platfom utama untuk menyediakan usahawan tempatan menjadi jaguh halal dan dapat menembusi pasaran antarabangsa.

"Acara itu juga adalah sebahagian daripada peranan HDC melalui pembangunan kapasiti dan program pemupukan untuk menyediakan usahawan halal tempatan menyertai MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia)," kata kenyataan itu.

Menurut Shapers Malaysia, HALFEST ASEAN 2017 yang dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), juga buat julung kalinya menyaksikan kerjasama HDC dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang bermatlamat meningkatkan penyertaan bumiputera dalam industri yang berpotensi besar itu. - BERNAMA

251 dibaca
Berita Harian X