Rabu, 9 Ogos 2017 | 9:11pm
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat Rex Tillerson di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA

Kunjungan Tillerson buka ruang baharu rundingan ekonomi

KUALA LUMPUR: Pertemuan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Rex Tillerson, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin membuka ruang baharu dalam rundingan ekonomi antara Malaysia dengan kuasa ekonomi terbesar dunia itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kunjungan pegawai kanan pertama pentadbiran Trump ke Malaysia itu membuka ruang untuk negara mengetengahkan pelbagai isu termasuk perdagangan.

Katanya, walaupun AS menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Malaysia akan tetap meneruskan rundingan dalam saluran lain kerana kedudukan AS sebagai ekonomi terbesar dunia.

"Ia penting kerana AS adalah negara yang besar, yang ketiga dari segi rakan dagangan Malaysia, yang terbesar dari segi destinasi elektrik dan elektronik negara, serta sumbangan ketara kepada angka pelaburan kita.

"Maka kita akan teruskan rundingan dengan AS walaupun tiada kepastian ke mana arahnya TPPA, kerana kita mahu pastikan kita dapat lakukan lebih banyak dalam rundingan dengannya kelak.

"Kami percaya hasil pertemuan Tillerson dengan Najib akan mencetuskan rantaian rundingan membina antara Malaysia dengan AS dari segi pandangan ekonomi," katanya pada sidang media di Hari Eksport Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini, hari ini.

Program yang menjadi agenda sambutan Hari ASEAN itu menyaksikan penyertaan lebih 1,000 PKS tempatan untuk meraih manfaat dan meneroka potensi meneroka pasaran pakatan ekonomi serantau itu.

Hari Eksport PKS yang diadakan bagi tahun kedua itu menjadi bukti kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta dalam usaha meningkatkan prestasi eksport negara.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, beliau akan membentangkan perkembangan rundingan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dalam Parlimen hari ini.

Katanya, setakat ini Malaysia sudah menyertai 19 pusingan rundingan RCEP dengan anggota negara ASEAN dan enam rakan dagangan iaitu China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia.

123 dibaca
Berita Harian X