Selasa, 8 Ogos 2017 | 3:25pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Ong Ka Chuan (dua, kanan) bersama Anggota Lembaga Pengarah serta tetamu kehormat bergambar selepas merasmikan Bangunan Blok 8 Kilang Infineon di Melaka hari ini. - Foto BERNAMA

Nilai dagangan negara mampu cecah RM1.6 trilion

MELAKA: Jumlah dagangan negara dijangka mampu mencecah sehingga RM1.6 trilion menjelang akhir tahun ini, dipacu permintaan tinggi bagi industri produk berteraskan elektrik dan elektronik (E&E).

Pertumbuhan yang kompetitif itu dijangka melepasi jumlah dagangan import dan eksport negara sebanyak RM1.48 trilion yang dicatatkan pada tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata secara keseluruhan jumlah dagangan import dan eksport negara dari Januari hingga Jun lalu adalah sebanyak RM859.17 bilion, iaitu RM451.05 bilion dagangan eksport, manakala RM408.12 bilion dagangan import, dengan lebihan RM42.93 bilion.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Ong Ka Chuan (dua, kanan) menandatangani plak perasmian ketika merasmikan Bangunan Blok 8 Kilang Infineon di Melaka hari ini. Turut hadir Presiden dan Pengarah Urusan Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd Lee Cheong Chee (kanan). - Foto BERNAMA

"Dengan pengukuhan permintaan bagi dagangan import dan eksport, kerajaan percaya jumlah dagangan pada tahun ini boleh mencecah sehingga RM1.6 trilion dengan industri E&E mendominasi sebanyak 36 peratus pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran bangunan baharu Blok 8, Kilang Infineon Technologies di Zon Perdagangan Bebas Tiga, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan EXCO Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Industri negeri, Datuk Sulaiman Mohamad Ali, Duta Jerman ke Malaysia, Nikolaus Graf Lambsdorff serta Presiden dan Pengarah Urusan Infineon Technologies (M) Sdn Bhd, Lee Cheong Chee.

Terdahulu, Ka Chuan dalam ucapannya berkata industri berteraskan E&E terus berkembang pesat dengan Malaysia berada di landasan tepat sebagai antara peneraju bagi pertumbuhan sektor itu di rantau ini.

"Melihat kepada pelaburan baharu yang dibuat Infineon di Melaka, ternyata negeri kecil ini menunjukkan potensi cukup besar bagi memacu perkembangan industri E&E sepanjang 40 tahun Infineon bertapak di negeri ini.

"Pembukaan bangunan baharu oleh syarikat ini juga bakal menyokong operasinya ke arah Standard Revolusi Perindustrian Ke-4 atau Industri 4.0, seterusnya mengikut peningkatan teknologi baharu,"katanya.

274 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »