Ahad, 16 Julai 2017 | 4:57pm

Faedah pinjaman 3.75 peratus untuk kakitangan awam - BSN


YANG Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong (empat kanan/belakang) merasmi dan menyampaikan duit raya kepada 32 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Baitul Sakinah sempena Sambutan Hari Raya BSN. - Foto Aslina Abu Bakar

KUALA TERENGGANU: Bank Simpanan Nasional (BSN) menawarkan pinjaman peribadi dengan kadar faedah paling rendah kepada kakitangan kerajaan, bermula 1 Julai lalu.

Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar, berkata kadar faedah yang ditawarkan BSN sebanyak 3.75 peratus setahun untuk kakitangan kerajaan itu adalah paling rendah pernah ditawarkan.

"Kempen ini ditawarkan kepada pelanggan kami bagi membantu mereka mengakses sistem perbankan yang kami sediakan.

"Malah, tawaran yang akan berjalan selama enam bulan itu juga adalah tanda terima kasih kami kepada pelanggan yang sentiasa memberi sokongan," katanya kepada media selepas sambutan Hari Raya BSN di Hotel Grand Continental, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong bagi merasmi dan menyampaikan duit raya kepada 32 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Baitul Sakinah.

Sementara itu, Puspa Marina berkata, pada tahun ini pihaknya juga menawarkan hadiah sebanyak RM10,000 kepada remaja berusia hingga 18 tahun yang menabung di dalam akaun Sijil Simpanan Premium (SSP).

"Mereka hendaklah menabung sekurang-kurangnya RM1,000 untuk berpeluang mendapatkan hadiah ini dan bermula tahun ini, kita mendapat sambutan baik daripada golongan remaja yang kini sudah mula membuka akaun SSP bersama kami.

"Program ini sekali gus membantu remaja mengamalkan sikap menabung sejak dari awal lagi," katanya.

Berita Harian X