Khamis, 13 Julai 2017 | 5:11pm

Kilang PROTON perintis kaedah Industri 4.0

IPOH: Kilang milik Proton Holdings Bhd (PROTON) di Proton City, Tanjung Malim, akan menjadi perintis dan kilang automatif induk pertama berfungsi menggunakan sepenuhnya teknologi baharu Revolusi Keempat atau Industri 4.0 di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata kilang berkenaan akan dijadikan kilang automatif induk yang mengamalkan teknologi tinggi dalam sistem pengilangan secara komprehensif, sekali gus meletakkan Perak negeri pertama melaksanakan pendekatan itu.

Katanya, perkara itu selari dengan kerjasama antara PROTON dengan syarikat Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely) dari China bagi membangunkan model kereta dengan menggunakan teknologi baharu.

"Industri elektronik adalah bidang penting kerana sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan barangan pembuatan eksport dalam negara adalah (produk) elektronik.

"Atas tujuan itu, kita memerlukan kilang elektronik berteknologi tinggi ditubuhkan lebih banyak di setiap negeri kerana ia mendatangkan keuntungan besar, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi kepada penduduk.

"Namun, kita tidak boleh mewujudkan kilang berkenaan semata-mata dan memerlukan kilang induk. Jadi, pada ketika ini kita sudah menemui satu kilang di Tanjung Malim untuk dijadikan sebagai kilang industri automatif induk pertama bagi memulakan kaedah Industri 4.0," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Sesi Jaringan Perniagaan anjuran pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Perak di sini hari ini.

Bulan lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dilaporkan berkata MITI sedang menerajui usaha bersepadu dalam menggubal dasar nasional mengenai Revolusi Industri Keempat atau Industri 4.0 itu untuk dibentangkan kepada Kabinet pada suku keempat tahun ini.

Katanya, kertas bersama itu akan membabitkan sektor awam dan swasta.

Berita Harian X