Jumaat, 12 Oktober 2018 | 3:30pm
Pratonton media kedua untuk Proton X70 memperkenalkan sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI). - Foto NSTP

Model X70 pencetus perubahan PROTON

KUALA LUMPUR: Pelancaran model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton Holdings Bhd (PROTON), Proton X70 bakal menjadi pencetus perubahan kepada jenama pengeluar kereta nasional itu dalam pasaran tempatan.

Firma pelaburan, AmInvestment Bank berkata, pengenalan model dinanti-nantikan itu bakal menguji pembaharuan dalam pelbagai operasi syarikat automotif itu dan bakal menjadi satu proses untuk memenangi semula hati pengguna.

“Kami percaya pengenalan Proton X70 akan mengubah asas kedudukan pasaran PROTON dan adalah adil untuk memberi masa kepada PROTON dalam melengkapkan proses ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

PROTON bakal melancarkan Proton X70 tidak lama lagi, dengan model terbaharu itu kini boleh ditempah mulai 8 September lalu di pusat edaran 3S dan 4S di seluruh negara melalui bayaran pendahuluan RM1,000.

Model yang diperkenalkan hasil kerjasama dengan Zheijang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) itu akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD; Executive 2WD; Executive AWD dan Premium 2WD.

AmInverstment Bank berkata, PROTON juga mengambil langkah pertama dalam menghasilkan Proton X70 secara pemasangan tempatan (CKD) apabila memeterai perjanjian dengan 30 pembekal tempatan.

“Kami percaya jumlah pengeluaran menjadi keutamaan bagi versi CKD dan PROTON menyasarkan jualan bulanan sekitar 3,000 hingga 4,000 unit,” katanya.

PROTON dilaporkan memperuntukkan pelaburan sebanyak RM1.2 bilion bagi pembesaran kilang pengeluarannya di Tanjung Malim, sekali gus menjadi pusat pengeluaran model baharu jenama kereta nasional itu pada masa akan datang.

Ia sejajar perjanjian perkongsian strategik antara PROTON dan Geely pada 2017, di mana langkah itu juga adalah komitmennya untuk meningkatkan angka jualan dan eksport, dengan kilang di Tanjung Malim turut menjadi hab pengeluaran global model kenderaan pemanduan sebelah kanan kumpulan Geely.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd, yakin dengan prospek Proton X70 yang bakal mentransformasikan pengeluar kenderaan nasional itu.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank, Daniel Wong, berkata dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan PROTON-Geely, Proton X70 berpotensi memulihkan kedudukan PROTON, sekali gus menjadikannya pemain automotif utama di pasaran ASEAN.

“Kami sangat positif dengan model baharu PROTON yang menawarkan pelbagai fungsi inovatif dan berkualiti. Proton X70 sudah menerima lebih 8,000 tempahan sejak bulan lalu dan ia dijangka terus meningkat disokong langkah PROTON memperkenalkan tempahan secara dalam talian,” katanya.

1972 dibaca
Berita Harian X