Jumaat, 12 Oktober 2018 | 3:13pm
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Mohamad Idham Nawawi. - Foto Hafiz Sohaimi

Celcom raih pengiktirafan khidmat pelanggan Asia

KUALA LUMPUR: Usaha berterusan Celcom Axiata Bhd untuk memberikan pengalaman hebat kepada pelanggan meraih pengiktirafan, apabila syarikat telekomunikasi itu merangkul beberapa anugerah dalam Sidang Kemuncak Asia Pengurusan Pengalaman Pelanggan Ke-6 di Singapura, baru-baru ini.

Celcom meraih dua anugerahuntuk pencapaian dan strategi pengalaman pelanggan, iaitu Anugerah Strategi Media Sosial Terbaik (Emas) dan Anugerah Pusat Perhubungan Terbaik (Gangsa).

Bagi Anugerah Strategi Media Sosial Terbaik (Emas), ia mengiktiraf organisasi yang menggunakan media sosial sebagai saluran strategik untuk menyediakan pengalaman pelanggan dengan lancar dari hujung ke hujung di saluran omni.

Anugerah Pusat Perhubungan Terbaik (Gangsa) pula mengiktiraf dan menggalakkan pusat perhubungan mengguna pakai kaedah, metrik dan idea yang inovatif bagi menyediakan sokongan berkualiti selaras dengan prestasi perniagaan semasa berkomunikasi bersama pelanggan.

Celcom juga menerima penghormatan serta diiktiraf di kalangan peserta terkemuka dalam kategori Anugerah Penggunaan Mudah Alih Terbaik, kerana berinteraksi secara innovatif bersama pelanggan dengan menggunakan platform sedemikian.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Mohamad Idham Nawawi, berkata anugerah berkenaan penghormatan dari industri serantau untuk pencapaian perkhidmatan pelanggan Celcom yang terkini.

“Ini pencapaian terhebat kami, untuk terus memperkukuhkan kedudukan sebagai pemimpin industri dalam menyediakan pengalaman pelanggan terbaik di peringkat antarabangsa.

“Pelanggan kami adalah keutamaan, dan kami sentiasa mendahulukan mereka apabila kami melancarkan perkhidmatan baharu dan inovatif bagi memastikan mereka mendapat pengalaman pelanggan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Perkhidmatan dan Pengalaman Celcom, Rene Warner berkata anugerah satu pengiktirafan dan pecapaian yang hebat untuk pasukan yang sentiasa bersemangat untuk menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.

“Jutaan terima kasih kepada pasukan media sosial dan pasukan perkhidmatan pelanggan Celcom. Kami mengalu-alukan kritikan serta teguran membangun untuk memajukan lagi perkhidmatan pelanggan, dan saya yakin pelanggan akan terus berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Sidang Kemuncak Asia Pengurusan Pengalaman Pelanggan adalah acara pengurusan pengalaman pelanggan serantau yang penting, khusus bagi berkongsi strategi terbaik dan paling inovatif dalam pengalaman pelanggan.

Ia juga platform bagi organisasi yang secara aktif meletakkan pelanggan sebagai keutamaan dalam perniagaan mereka.

Pengiktirafan adalah kesan daripada inisiatif Celcom yang bertujuan untuk terus memperbaiki perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan, dengan memberi akses kepada inovasi terkini.

Antara inovasi ini adalah Hab Pengalaman Media Sosial yang pertama di Asia Tenggara dan perkhidmatan Agen Maya Pintar yang canggih di Asia Tenggara.

Celcom juga pengendali telekomunikasi pertama menerima pensijilan terkini kualiti ISO antarabangsa di peringkat global untuk pusat hubungan.

77 dibaca
Berita Harian X